Pelanjutan Pengecualian Cukai Galak Syarikat Daftar Kapal Di Malaysia - Loke
PUTRAJAYA, 12 Okt (Bernama) -- Langkah pelanjutan pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat perkapalan selama 10 tahun lagi dapat menggalakkan lebih banyak syarikat berkenaan mendaftarkan kapal masing-masing di Malaysia berbanding di negara lain yang menawarkan insentif cukai.
Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pengecualian cukai pendapatan itu yang bermula 2027 hingga 2036 itu turut memberi kepastian kepada sektor maritim untuk merancang pelaburan jangka panjang.
"Sebelum ini pengecualian cukai pendapatan untuk syarikat perkapalan perlu dipohon setiap dua tahun. Oleh itu, banyak syarikat perkapalan tiada keyakinan untuk melabur (bagi tempoh) jangka panjang, membeli kapal dan sebagainya.
"Bagi menarik semula syarikat perkapalan mendaftarkan kapal dan melabur aset mereka di Malaysia, maka langkah pengecualian cukai 10 tahun ini memberi satu kepastian kepada mereka," katanya.
Sewaktu membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada Jumaat lepas, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelanjutan pengecualian penuh cukai pendapatan bagi syarikat perkapalan Malaysia sehingga tahun taksiran 2036.
Mengulas selanjutnya, Loke berkata kerajaan turut menetapkan duti setem RM2,000 bagi pembiayaan pembelian atau pembinaan kapal bernilai sehingga RM100 juta manakala pembiayaan melebihi RM100 juta dikenakan duti setem RM5,000.
Sebelum ini duti setem dikenakan pada kadar 0.5 peratus daripada nilai kapal atau pembiayaan, yang bermakna pembiayaan kapal bernilai RM100 juta dikenakan duti setem RM500,000.
"Jika pembiayaan kapal RM100 juta, dapat jimat RM498,000. Ini suatu penjimatan yang cukup besar, sangat menarik kepada syarikat perkapalan.
“Dengan pengenalan dasar ini atau pun kadar ini, kita yakin ini dapat menjana lebih banyak pembinaan atau pelaburan dalam kapal-kapal baharu yang bukan saja baik untuk syarikat tetapi bagi industri perkapalan," katanya.
Beliau berkata langkah itu juga dijangka menggalakkan pelaburan baharu dalam pemilikan kapal serta merancakkan industri perkapalan dan pembinaan kapal tempatan, termasuk di Sibu, Sarawak.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemilik-Pemilik Kapal Malaysia (MASA) Mohamed Safwan Othman berkata pemain industri menyambut baik pelanjutan pengecualian cukai berkenaan kerana memberi kepastian jangka panjang kepada pemilik kapal untuk membeli atau membina kapal di Malaysia serta mendaftarkannya di bawah bendera negara.
"Kami berterima kasih kepada Menteri Pengangkutan yang tidak putus asa membawa isu ni kepada Kementerian Kewangan. Setelah bertahun-tahun dalam sejarah perkapalan Malaysia, kita mendapat satu pengecualian cukai yang agak panjang," katanya.
-- BERNAMA