BERITA TERKINI   Kanak-kanak lelaki 11 tahun maut akibat kecederaan di kepala dipercayai berpunca senjata api buatan sendiri ‘Ginsok’ di Sook Sabtu lepas - Ketua Polis Daerah Keningau | Polis rampas 42 laras senapang angin, 456 kotak kecil peluru serta tahan lelaki 50 tahun dalam operasi di Sook semalam - Ketua Polis Daerah Keningau | Jerebu: Johor laksana solat hajat di semua masjid dan surau bermula hari ini sehingga keadaan kembali pulih - Exco Mohd Fared | 

Belanjawan 2027 Sokong Ringgit, Pasaran Bon - Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2027 mampu menyokong ringgit dan pasaran bon Malaysia dengan memperkukuh permintaan domestik serta memantapkan disiplin fiskal manakala inisiatif untuk menggalakkan pelaburan tempatan berupaya menyediakan peluang kepada pasaran ekuiti.

Ketua Pasaran Global (Derivatif Kadar Faedah) OCBC Malaysia Eric Lok berkata belanjawan tersebut secara dasarnya tidak mengubah arah dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) dan ia boleh mengukuhkan ekonomi domestik serta menyokong mata wang tempatan dalam tempoh sederhana.

“Dalam jangka sederhana, saya kekal optimis terhadap ringgit sebagai mata wang. Kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS)-ringgit dijangka beransur-ansur diniagakan di bawah paras 4.0 pada 2027,” katanya semasa sesi perbincangan OCBC bertajuk Belanjawan Malaysia 2027: Implikasi Dasar, Politik dan Pasaran.

Ad Banner

Lok berpendapat Malaysia mempunyai hala tuju pertumbuhan yang kukuh didorong oleh langkah yang diambil untuk memperkukuh ekonomi domestik serta insentif bagi menarik pelaburan asing.

“Langkah ini akan membantu kerajaan menguruskan kedudukan fiskal dengan lebih baik,” katanya.

Bagaimanapun, ahli ekonomi itu mengingatkan bahawa faktor luaran termasuk pengukuhan dolar AS dan hasil bon AS yang kekal tinggi, boleh menjejaskan prestasi ringgit.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata jangkaan kenaikan kadar faedah AS selanjutnya juga boleh mempengaruhi perbezaan kadar faedah antara dolar AS dengan ringgit.

Mengenai dasar monetari, Lok memaklumkan Belanjawan 2027 mengukuhkan alasan bagi BNM untuk terus mengambil pendekatan berhati-hati walaupun masa pelaksanaan sebarang normalisasi kadar faedah bergantung kepada perkembangan ekonomi.

“Saya berpendapat belanjawan itu tidak mengubah secara asas hala tuju dasar BNM.

“Langkah kerajaan termasuk pelepasan cukai dan penangguhan pembayaran balik pinjaman bertujuan menyokong pendapatan boleh guna serta permintaan domestik,” katanya.

Sementara itu, Lok menyatakan kerajaan dijangka menerbitkan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) bernilai kasar antara RM180 bilion hingga RM190 bilion pada 2027 dan pasaran berkemungkinan dapat menyerap penawaran tersebut.

Beliau berkata jualan besar-besaran dalam pasaran bon baru-baru ini mewujudkan peluang kepada pelabur khususnya selepas kerajaan menegaskan semula komitmennya terhadap disiplin fiskal dalam Belanjawan 2027.

Mengulas mengenai pasaran ekuiti, bekas Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri merangkap Profesor Adjung Universiti Taylor Ong Kian Ming berkata program GEAR-uP kerajaan berpotensi merangsang pelaburan domestik dalam sektor terpilih.

Beliau menyatakan program itu bertujuan menggalakkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) meningkatkan pelaburan domestik termasuk dalam sektor semikonduktor dan penjagaan kesihatan.

Menurut Ong, program My Value Up Bursa Malaysia merupakan satu lagi inisiatif yang perlu diberi perhatian, khususnya rancangan untuk menambah bilangan saham konstituen FBM KLCI daripada 30 kepada 50.

“Impak inisiatif ini terhadap pasaran ekuiti bergantung pada keupayaannya menjana momentum pelaburan domestik yang lebih kukuh manakala ketidaktentuan politik boleh menjejaskan sentimen pelabur,” katanya.

Mengenai peralihan daripada Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR) kepada Kadar Semalaman Malaysia (MYOR), Lok berkata Belanjawan 2027 mungkin tidak menjejaskan secara langsung jadual peralihan itu, meskipun peningkatan aktiviti pelaburan boleh menyokong pembangunan instrumen kewangan yang berpandukan MYOR.

Beliau memberitahu aliran masuk pelaburan yang lebih kukuh boleh meningkatkan permintaan terhadap instrumen pembiayaan dan lindung nilai sekali gus menyokong aktiviti dalam pasaran MYOR.

-- BERNAMA