Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi Susulan Eksport Dianggarkan Lebih Kukuh
Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Isnin, dipacu oleh permintaan eksport yang lebih kukuh seperti ditunjukkan dalam anggaran terkini juruukur kargo bagi Oktober, kata seorang peniaga.
Menurut syarikat juruukur kargo Amspec Agri Malaysia, eksport minyak sawit negara meningkat 37.73 peratus atau 134,760 tan kepada 491,954 tan bagi tempoh 1 hingga 10 Okt, daripada 357,194 tan dalam tempoh sama pada September.
Sementara itu, syarikat pemeriksaan bebas Intertek Testing Services melaporkan eksport naik sebanyak 33.51 peratus atau 131,776 tan, kepada 525,071 tan sepanjang 1–10 Okt, berbanding 393,295 tan dari 1–10 Sept.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng memberitahu Bernama, keyakinan pasaran kekal kukuh walaupun Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaporkan paras inventori dan pengeluaran yang mencatat paras tertinggi.
MPOB hari ini melaporkan stok minyak sawit mentah (MSM) meningkat 31.88 peratus atau 522,905 tan kepada 2.16 juta tan pada September daripada 1.64 juta tan pada Ogos.
Dari segi pengeluaran, MPOB memaklumkan pengeluaran MSM meningkat 16.48 peratus atau 299,451 tan kepada 2.11 juta tan pada September.
Pada penutup dagangan, kontrak Oktober 2026 susut RM162 kepada RM4,200 setan, manakala November 2026 meningkat RM33 kepada RM4,498 setan dan Disember 2026 menokok RM45 kepada RM4,637 setan.
Sementara itu, kontrak Januari 2027 melonjak RM49 kepada RM4,758 setan, Februari 2027 menambah RM52 kepada RM4,862 setan dan Mac 2027 menokok RM53 kepada RM4,955 setan.
Jumlah dagangan bagaimanapun susut kepada 72,256 lot daripada 145,207 lot pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka menurun kepada 264,065 kontrak daripada 337,867 kontrak sebelum ini.
Harga fizikal MSM bagi Oktober Selatan meningkat RM50 kepada RM4,500 setan.
-- BERNAMA