iCents Group Raih Projek Fasiliti Semikonduktor Bernilai RM36.15 Juta
KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- iCents Group Holdings Bhd berjaya memperoleh projek fasiliti pemprosesan wafer semikonduktor dua peringkat di Selangor dengan nilai potensi kontrak RM36.15 juta, tidak termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu memaklumkan anak syarikat milik penuhnya, VC Engineering Sdn Bhd telah menerima surat anugerah (LoA) daripada anak syarikat Malaysia milik firma berpangkalan di Amerika Syarikat bagi kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).
Menurut syarikat itu, di bawah LoA berkenaan, peringkat pertama yang bernilai RM21.05 juta dan tidak termasuk SST, telah dianugerahkan secara rasmi dan dijangka siap dalam tempoh 18 minggu.
Peringkat kedua yang bernilai RM15.10 juta dan tidak termasuk SST dengan skop kerja telah digariskan dalam LoA namun tertakluk kepada notis penganugerahan bertulis lanjutan daripada pihak majikan.
“Projek itu hanya mengukuhkan lagi kehadiran kumpulan berkenaan dalam industri semikonduktor selain mempertingkat keupayaan dari segi penyediaan penyelesaian EPCC bersepadu bagi kemudahan pembuatan termaju,” maklum syarikat itu.
iCents Group berkata projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih dan perolehan sesaham syarikat serta kumpulan mulai tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun, 2027 sehingga projek itu selesai.
-- BERNAMA