Pahang Sasar Hab Halal Utama Semenanjung, Pelabuhan Kuantan Jadi Pelabuhan Mesra Halal

Oleh Nor Liyana binti Zulkifli

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Kerajaan Pahang bersedia menjadikan negeri itu sebagai hab halal utama di Semenanjung Malaysia menerusi cadangan penjenamaan Pelabuhan Kuantan sebagai Pelabuhan Mesra Halal dengan memanfaatkan integrasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancang Ekonomi Pahang Norliza Mohamed Ali berkata ECRL dari Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Kuantan bakal menjimatkan tempoh perjalanan barangan serta memendekkan akses eksport terus ke pasaran seperti kepulauan Borneo, China dan Filipina.

Ad Banner

Katanya inisiatif itu berpotensi mengukuhkan rantaian bekalan halal dan menyediakan akses yang lebih baik kepada pasaran domestik serta antarabangsa.

Beliau berkata perancangan berkenaan berjalan seiring dengan pembinaan Gebeng Halal Hab sebagai hub halal kedua negeri bagi melengkapi tapak sedia ada di Gambang Halal Park. 

"Selain kedudukan Pelabuhan Kuantan yang strategik di Pantai Timur, Kerajaan Negeri Pahang juga melihat kepada pengukuhan aspek logistik melalui pembangunan Pelabuhan Kuantan ke arah Pelabuhan Mesra Halal. Inisiatif ini berpotensi mengukuhkan rantaian bekalan halal dan menyediakan akses yang lebih baik kepada pasaran domestik serta antarabangsa,” katanya. 

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata demikian dalam program Bernama Mobile Studio (BMS) sempena hari terakhir Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini. 

Norliza berkata Pahang melakar sejarah tersendiri apabila diiktiraf sebagai ‘state partner’ pertama pada MIHAS tahun ini, yang dilihat sebagai satu langkah yang strategik dalam meneruskan penglibatan dan komitmen Pahang dalam industri halal.

Ini termasuk hasil penglibatan kerajaan negeri yang konsisten sejak 2023 di platform antarabangsa seperti MIHAS Dubai 2024 dan MIHAS Shanghai 2025.

"Dalam konteks ini, MIHAS melengkapi usaha yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan negeri. MIHAS bukan sahaja memberi peluang kepada usahawan untuk mempamerkan produk mereka, tetapi yang lebih penting, ia menyediakan peluang secara perniagaan ke perniagaan (B2B) melalui penyertaan dalam Program Penyumberan Antarabangsa (INSP)," kata Norliza. 

Beliau berkata pencapaian di peringkat antarabangsa sebelum ini telah membolehkan beberapa syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Pahang menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dan perjanjian kerjasama perniagaan dengan rakan dagang luar negara.

Katanya seramai 20 usahawan PMKS Pahang yang menyertai pameran tahun ini disaran mendaftar di bawah INSP anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

"Pada tahun ini, kerajaan negeri membawa seramai 20 usahawan Pahang yang memiliki pensijilan halal atau dalam proses mendapatkan pensijilan halal, dengan kepelbagaian produk dan perkhidmatan yang ingin ditawarkan kepada pembeli yang berpotensi," katanya. 

Menurut Norliza, sokongan penuh kerajaan negeri juga turut membantu memperkasa hampir 40,000 usahawan PMKS yang ada di negeri berkenaan khususnya dalam proses mendapatkan pensijilan halal hingga ke pembinaan pakej perniagaan baharu.

Justeru beliau menyeru lebih ramai usahawan Pahang untuk tampil merebut pelbagai kemudahan, peruntukan geran dan pembiayaan kerajaan negeri untuk membawa produk tempatan ke persada antarabangsa.

-- BERNAMA