BERITA TERKINI   Hujan lebat dijangka landa Bangkok dan wilayah sekitar sehingga 27 Sept - Jabatan Meteorologi Thailand | 50 daerah di Bangkok diisytihar sebagai kawasan bencana susulan keadaan banjir yang semakin buruk - Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) | Kampus UiTM Jalan Othman ditukar nama kepada Kampus UiTM Tun Arshad Ayub Jalan Othman - PM Anwar | PM Anwar umum peruntukan RM2.5 juta menaik taraf Kampus UiTM Tun Arshad Ayub Jalan Othman | Kerajaan terus beri perhatian terhadap agenda pembangunan Bumiputera selaras prinsip keadilan sosial - PM Anwar | 

Keputusan Pemansuhan Syarat Ekuiti 30 Peratus IPS Di Bawah Kementerian Berkaitan – Akmal Nasrullah

SUBANG JAYA, 26 Sept (Bernama) -- Keputusan berkaitan pemansuhan syarat ekuiti 30 peratus Bumiputera bagi institusi pendidikan swasta (IPS) adalah di bawah kementerian berkaitan mengikut bidang kuasa yang ditetapkan, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata Kementerian Ekonomi memberi tumpuan kepada Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (Putera35) bagi memperkukuh keupayaan Bumiputera dan memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dijana secara bersama.

“Kawal selia dan pelaksanaan syarat tersebut adalah mengikut kementerian masing-masing dan apa-apa keputusan terikat kepada keputusan Jemaah Menteri pada 2009.

Ad Banner

“Oleh itu, agenda pemerkasaan Bumiputera perlu dilihat dari sudut yang positif bagi meningkatkan keupayaan mereka untuk terus berkembang dan menceburi bidang ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup REHDA Institute Youth Initiative (RIYI) 2026, di sini hari ini.

Pada 21 Sept lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan bahawa pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengendalikan institusi pendidikan swasta (IPS) di bawah KPM.

Ad Banner
Ad Banner

KPM memaklumkan penyelarasan itu dibuat bagi memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan serta memastikan ruang penyertaan dalam bidang pendidikan kekal terbuka kepada semua pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.

Dalam perkembangan lain, Akmal Nasrullah berkata reformasi struktur ekonomi merupakan antara langkah penting untuk menangani isu pertumbuhan gaji yang tidak memberangsangkan dan meningkatkan kedudukan pendapatan pekerja di Malaysia.

“Bila kita bercakap mengenai masalah gaji yang tidak berkembang atau bagaimana kita hendak meningkatkan lagi kedudukan gaji di negara ini, sudah pasti ia adalah isu struktur ekonomi yang telah lama membelenggu negara.

“Dalam mengatasi masalah struktur ini, antaranya adalah untuk kita menaikkan tahap ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata kerajaan turut memberi perhatian kepada usaha meningkatkan pendapatan kumpulan pekerja bergaji rendah, termasuk melalui mekanisme gaji minimum.

“Cabaran seterusnya adalah bagaimana kita mengelakkan pemampatan gaji (wage compression) bagi kumpulan pekerja separa mahir atau pekerja bergaji pertengahan.

“Ini adalah supaya kumpulan tersebut tidak tertekan dalam keadaan majikan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana, memikul komitmen terhadap peningkatan gaji minimum,” katanya.

-- BERNAMA