BERITA TERKINI   Hujan lebat dijangka landa Bangkok dan wilayah sekitar sehingga 27 Sept - Jabatan Meteorologi Thailand | 50 daerah di Bangkok diisytihar sebagai kawasan bencana susulan keadaan banjir yang semakin buruk - Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) | Kampus UiTM Jalan Othman ditukar nama kepada Kampus UiTM Tun Arshad Ayub Jalan Othman - PM Anwar | PM Anwar umum peruntukan RM2.5 juta menaik taraf Kampus UiTM Tun Arshad Ayub Jalan Othman | Kerajaan terus beri perhatian terhadap agenda pembangunan Bumiputera selaras prinsip keadilan sosial - PM Anwar | 

MIHAS Catat Jualan RM5.5 Bilion Hari Keempat, Yakin Capai RM6 Bilion - MATRADE

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 merekodkan potensi jualan RM5.5 bilion setakat hari keempat penganjurannya, dan jumlah itu dijangka meningkat kepada RM6 bilion menjelang akhir pameran.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata jumlah berkenaan tidak termasuk nilai memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai serta transaksi berasingan yang dilaksanakan menerusi penggunaan kecerdasan buatan (AI) agentik.

“Saya agak optimistik kita mampu mencapai (jumlah jualan) RM6 bilion (bagi MIHAS 2026),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah MIHAS 2026 di sini, hari ini.

Ad Banner

Terdahulu, MATRADE menyasarkan potensi perniagaan melebihi RM5 bilion menerusi MIHAS 2026, selain memperluas akses produk halal Malaysia ke pasaran antarabangsa.

Pencapaian itu mencerminkan potensi MIHAS sebagai platform strategik bagi menjana peluang perdagangan dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem halal global, khususnya menerusi jaringan perniagaan, inovasi serta pendigitalan.

Sementara itu, Majlis Anugerah MIHAS 2026 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini mengiktiraf peserta pameran yang mencorakkan masa depan industri halal global menerusi kecemerlangan, inovasi, kelestarian dan transformasi digital.

Ad Banner
Ad Banner

Sebanyak 13 anugerah disampaikan menerusi tiga kategori utama, iaitu Anugerah Kecemerlangan; Anugerah Inovasi, Kelestarian dan Pendigitalan; serta Anugerah Women in Export (WiEX) yang diperkenalkan buat julung kalinya.

Bagi Anugerah Kecemerlangan Produk/Perkhidmatan, penerimanya ialah NIMS Adeliciousz Sdn Bhd, Industri Makanan Jati Sdn Bhd dan RK Mubaraka Sdn Bhd, manakala Chocofac (Malaysia) Sdn Bhd dan Haritage Brands Sdn Bhd menerima Anugerah Bintang Baharu Kecemerlangan Produk/Perkhidmatan.

Zhafou Global Sdn Bhd pula menerima Anugerah WiEX Kecemerlangan Produk/Perkhidmatan.

Anugerah Inovasi, Kelestarian dan Pendigitalan Produk/Perkhidmatan diberikan kepada HYGR Sdn Bhd, PrintDaddy Sdn Bhd, Betrimex (Coco Investments Pte. Ltd.), Mega Fortris Berhad, Nestle Products Sdn Bhd dan Abin Manufacturing Sdn Bhd, manakala Innovate Health Sdn Bhd menerima Anugerah WiEX Inovasi, Kelestarian dan Pendigitalan Produk/Perkhidmatan.

Mengulas mengenai Anugerah MIHAS 2026, Reezal Merican berkata MATRADE bercadang memperkenalkan beberapa kategori anugerah baharu pada tahun depan, khususnya bagi menggalakkan penyertaan lebih banyak negara luar.

Beliau berkata pengiktirafan berkenaan dijangka menjadi antara pemangkin kepada peserta sedia ada untuk terus menyertai MIHAS, selain menarik penyertaan baharu dari negara lain berikutan pengukuhan penjenamaan MIHAS di peringkat antarabangsa.

-- BERNAMA