BERITA TERKINI   Hujan lebat dijangka landa Bangkok dan wilayah sekitar sehingga 27 Sept - Jabatan Meteorologi Thailand | 50 daerah di Bangkok diisytihar sebagai kawasan bencana susulan keadaan banjir yang semakin buruk - Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) | 

Pakistan Rancang Bawa Pemain Tekstil, Perbankan Islam Ke MIHAS 2027

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 26 Sept  (Bernama) -- Pakistan merancang membawa syarikat swasta daripada sektor tekstil dan perbankan Islam untuk menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2027.

Kaunselor Perdagangan dan Pelaburan Suruhanjaya Tinggi Pakistan Tahira Javed berkata peserta industri itu mewakili segmen industri halal baharu yang semakin berkembang dan menarik minat perniagaan di kedua-dua negara iatu Pakistan dan Malaysia.

Ad Banner

"Kami (untuk MIHAS 2026) memberi tumpuan kepada (pameran) daging halal dan beras, serta produk pertanian bernilai tambah seperti barangan pengguna bergerak pentas (FMCG), garam merah jambu dan madu, manakala sektor lain merangkumi tekstil, pakaian siap dan perbankan Islam; ini merupakan bidang yang menarik minat kedua-dua belah pihak.

"Kami akan cuba membawa syarikat swasta daripada sektor-sektor ini untuk menyertai MIHAS 2027," katanya dalam satu temu bual di program Bernama Mobile Studio (BMS) mengenai ‘Penyertaan di MIHAS 2026 dan Perdagangan Halal Global’.

Tahira juga berkata Pakistan kini giat bekerjasama dengan syarikat-syarikat Malaysia untuk meningkatkan eksport buah-buahan tropika dari kedua-dua negara, memandangkan potensi pertumbuhan dan minat perniagaan untuk segmen itu semakin meningkat.

Ad Banner
Ad Banner

"Kami menggalakkan penyertaan beberapa syarikat terkemuka Malaysia dalam sektor pertanian hasil segar; malah ada yang turut serta bersama saya ke Pameran FoodAgro tahun lepas dan kami telah membincangkan bagaimana buah-buahan tropika boleh dieksport dari Malaysia ke Pakistan.

"Kami mengeksport buah-buahan sitrus kami dan mangga kami yang digelar sebagai 'Raja Buah' di Pakistan. Kedua-dua buah ini mempunyai potensi di pasaran Malaysia dan kami bersedia untuk menggalakkan serta memudah cara kemasukan durian, kelapa dan buah-buahan tropika lain dari Malaysia ke Pakistan," katanya.

Tahira dalam pada itu turut menjemput syarikat-syarikat Malaysia untuk menyertai Pameran Makanan dan Pertanian Antarabangsa Keempat (FoodAg 2026), yang akan berlangsung dari 23 hingga 26 Nov, 2026 di Expo Centre Karachi, Pakistan.

Sementara itu, beliau berkata MIHAS 2026 akan terus menjadi platform penting untuk Pakistan mempamerkan industri halal mereka di samping menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, dengan penyertaan daripada kedua-dua sektor kerajaan dan swasta.

Beliau berkata agensi-agensi utama kerajaan telah menyertai MIHAS 2026, termasuk Suruhanjaya Tinggi Pakistan, Pihak Berkuasa Pembangunan Perdagangan Pakistan (TDAP), Pihak Berkuasa Perdagangan Tani dan Keselamatan Makanan Kebangsaan (NAFSA) serta Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Tumbuhan.

"Pelbagai sesi libat urus di peringkat rasmi dan kerajaan dengan kerajaan (G2G) telah berlangsung antara Pakistan dan Malaysia semasa MIHAS kali ini," tambah Tahira.

Bertemakan “Shaping Trust, Driving Resilience” (Melakar Kepercayaan, Memacu Daya Tahan), MIHAS edisi ke-22 menampilkan 2,000 reruai, 1,700 pempamer dan 450 pembeli antarabangsa dari 58 negara.

MIHAS kali ini merekodkan potensi jualan RM5.5 bilion pada hari keempat penganjurannya, manakala jumlah pengunjung mencecah 30,000 orang setakat hari ketiga, sekali gus berada pada landasan untuk mencapai sasaran 50,000 pengunjung.

-- BERNAMA