BERITA TERKINI   Hujan lebat dijangka landa Bangkok dan wilayah sekitar sehingga 27 Sept - Jabatan Meteorologi Thailand | 50 daerah di Bangkok diisytihar sebagai kawasan bencana susulan keadaan banjir yang semakin buruk - Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) | Kampus UiTM Jalan Othman ditukar nama kepada Kampus UiTM Tun Arshad Ayub Jalan Othman - PM Anwar | PM Anwar umum peruntukan RM2.5 juta menaik taraf Kampus UiTM Tun Arshad Ayub Jalan Othman | Kerajaan terus beri perhatian terhadap agenda pembangunan Bumiputera selaras prinsip keadilan sosial - PM Anwar | 

Kinza Fokus Pada Keperluan Pengguna, Rakan Kongsi Tepat Bagi Pengembangan Pasaran

KUALA LUMPUR, 26 Sept  (Bernama) -- Kinza, jenama minuman Arab Saudi, tidak berhasrat untuk bersaing dengan gergasi minuman terkemuka, sebaliknya menumpukan usaha untuk memahami keperluan dan jangkaan pengguna yang sentiasa berubah ketika ia meluaskan pasaran ke Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif Al Jameel International dan Kinza, Bandar Okrin berkata syarikat itu percaya kekuatannya terletak pada keupayaan untuk memahami tingkah laku pengguna yang digabungkan dengan keupayaan pemasaran, penyelidikan dan pembangunan (R&D), kualiti, serta rantaian bekalan.

"Kami tidak berhasrat untuk bersaing dengan pesaing kami, sebaliknya melihat kepada nilai produk kami kepada pengguna, apa yang diperlukan oleh pengguna, apa yang boleh diterima dan apa yang diharapkan daripada kami," katanya.

Ad Banner

Beliau berkata demikian dalam program Bernama Mobile Studio (BMS) bertajuk ‘Meneroka Impak Penajaan dan Peluang Rakan Kongsi’ sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026, di sini hari ini.

Okrin berkata Kinza yang ditubuhkan pada 2022, telah berkembang pesat dan kini mengeksport produknya ke lebih 70 buah negara, sekali gus meletakkan kedudukannya sebagai salah satu jenama minuman yang berkembang paling pantas di Asia Barat.

Beliau berkata penyertaan sulung syarikat itu dalam MIHAS mencerminkan kepentingan Malaysia dan Indonesia sebagai pasaran utama bagi pengembangannya ke Asia Tenggara.

"Kami sedang mencari rakan kongsi pelaburan yang mempunyai keupayaan sewajarnya untuk membangunkan pasaran, daripada aspek pembuatan dan rantaian bekalan sehinggalah kepada pusat pengedaran, pemasaran dan penjenamaan," katanya.

Okrin berkata strategi pengembangan Kinza tertumpu kepada kerjasama dengan rakan kongsi tempatan untuk menghasilkan produk secara tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan dan membangunkan infrastruktur bagi menyokong kehadiran jangka panjangnya di rantau ini.

“Kinza tidak mampu mencapai kejayaan di seluruh dunia dengan bergerak sendirian. Kami memerlukan rakan kongsi yang baik di rantau ini,” katanya sambil menambah syarikat itu terbuka untuk bekerjasama dengan syarikat baharu dan syarikat pemula niaga yang berpotensi menjadi rakan kongsi bukan sahaja di Malaysia dan Indonesia, malah di peringkat global.

Ad Banner
Ad Banner

Kinza juga kata beliau, telah menjalin beberapa kerjasama francais di seluruh dunia dan sedang menilai rakan kongsi berpotensi di MIHAS berdasarkan keupayaan, identiti perniagaan, budaya serta keserasian mereka dengan jenama berkenaan.

Memandangkan jenama Kinza masih agak baharu, Okrin berkata ini turut memberikan fleksibiliti kepada syarikat itu untuk bertindak dengan pantas terhadap perubahan cita rasa pasaran, disokong oleh pasukan profesional yang mempunyai kepakaran dalam bidang R&D, kualiti, rantaian bekalan, pemasaran dan tingkah laku pengguna.

Beliau berkata maklum balas awal menunjukkan pengguna di rantau ini menerima baik rasa Kinza, selain menunjukkan minat terhadap produk-produk baharu.

“Pengguna memerlukan sesuatu yang baharu. Sudah tiba masanya untuk berubah,” kata Kinza.

"Mengenai pembinaan jenama, beliau menegaskan Kinza telah membuat pelaburan besar dalam pemasaran dan penajaan di seluruh dunia, termasuk acara berkaitan sukan bertujuan memperkukuh keterlihatan jenama dan memupuk hubungan dengan pengguna.

Kinza juga merupakan penaja terbesar MIHAS 2026, sekali gus mencerminkan komitmennya terhadap Malaysia serta cita-citanya untuk mengukuhkan kehadiran di pasaran Asia Tenggara.

"Kami menyasarkan untuk menjadi salah satu pemain utama dalam industri minuman ringan di peringkat global," tambah Okrin.

-- BERNAMA