Bursa Malaysia Kekal Rendah Pada Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari, didorong oleh tekanan jualan terhadap beberapa saham wajaran tinggi terutama dalam sektor perladangan, perkhidmatan kewangan dan utiliti.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.63 mata atau 0.32 peratus kepada 1,735.98 daripada 1,741.61 semasa ditutup pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka meningkat 1.18 mata kepada 1,742.79 dan bergerak antara 1,733.21 hingga 1,742.79 sepanjang sesi dagangan pagi.
Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 601 berbanding 357 manakala 539 kaunter tidak berubah, 1,301 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 1.90 bilion unit bernilai RM1.30 bilion.
Menurut Apex Securities Bhd dalam nota penyelidikan hari ini, kaunter utiliti dan tenaga dijangka meneruskan kenaikan, masing-masing didorong momentum belian yang berterusan dan harga minyak mentah yang kukuh.
"Kaunter pembinaan mungkin kekal berdaya tahan, disokong oleh pelaburan yang berterusan dalam pusat data dan berkaitan kecerdasan buatan, yang dijangka menyokong aliran kerja dan prospek pendapatan bagi kontraktor terpilih," katanya.
Antara saham wajaran tinggi, CIMB Group naik empat sen kepada RM7.96 manakala Maybank susut dua sen kepada RM10.58, Public Bank rendah tiga sen kepada RM5.16, IHH Healthcare masing-masing berkurangan empat sen kepada RM5.15 dan Tenaga Nasional rendah enam sen kepada RM14.52.
Bagi saham paling aktif, Key ASIC menambah tiga sen kepada 6.5 sen, Ekovest meningkat setengah sen kepada 20.5 sen, Oppstar naik tiga sen kepada 71.5 sen dan HHRG menokok setengah sen kepada 16 sen manakala NationGate susut tiga sen kepada RM1.53.
Kaunter paling untung menyaksikan Nestle melonjak RM1.40 kepada RM104.30, Malaysian Pacific Industries meningkat 52 sen kepada RM48.02, UMS Integration naik 19 sen kepada RM8.34, Ideal Capital mengukuh 18 sen kepada RM3.68 dan Kee Ming Group menambah 15 sen kepada RM2.28
Bagi saham paling rugi, Hong Leong Bank rendah 34 sen kepada RM22.36, United Plantations susut 28 sen kepada RM33.32, PPB Group berkurangan 17 sen kepada RM9.36, Malaysia Smelting Corporation rendah 16 sen kepada RM2.06 dan Fraser & Neave susut 14 sen kepada RM26.76.
Di papan indeks, Indeks FBM ACE meningkat 40.73 mata kepada 5,244.16 manakala Indeks FBM Emas susut 41.29 mata kepada 12,877.41 dan Indeks FBMT 100 rendah 39.01 mata kepada 12,6789.82.
Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 49.31 mata kepada 12,721.57 dan Indeks FBM 70 susut 47.21 mata kepada 18,388.60.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga meningkat 1.06 mata kepada 786.80 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 45.87 mata kepada 20,354.15 dan Indeks Perladangan rendah 84.38 mata kepada 9,383.96, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.56 mata kepada 189.79.
-- BERNAMA