Tradewinds Sasar Perkukuh Kehadiran Dalam Industri Makanan Tempatan, Kembang Operasi Serantau
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Konglomerat Tradewinds Malaysia Bhd menyasarkan kehadiran yang lebih kukuh dalam industri makanan tempatan dan mengembangkan portfolio perniagaannya untuk menjadi pemain serantau yang disegani.
Ketua Pembangunan Perniagaannya Farhan Hafetz berkata Tradewinds merupakan sebuah syarikat pemegang saham yang memiliki kepentingan dalam pelbagai syarikat makanan, namun kesedaran mengenai syarikat itu masih terhad.
Beliau memaklumkan syarikat itu mempunyai kepentingan dalam beberapa syarikat berkaitan makanan seperti Jasmine Food Corporation Sdn Bhd, OEL Realty Holdings Sdn Bhd dan United Malayan Flour (1996) Sdn Bhd.
"Jika anda lihat syarikat CP Group dari Thailand, ia sangat besar. Mereka kini memiliki banyak perniagaan, malah turut beroperasi di Malaysia.
"Kami bercita-cita untuk menjadi syarikat yang seperti itu, sebuah konglomerat makanan di Malaysia yang turut mengeksport ke peringkat serantau dan antarabangsa. Terdapat banyak kategori makanan yang sedang kami teliti," kata Farhan.
Beliau berkata demikian pada sesi temu bual dalam program Bernama Mobile Studio (BMS) bertajuk ‘Meneroka Impak Penajaan dan Pameran’ sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026, di sini hari ini.
Farhan berkata Tradewinds buat pertama kalinya menyertai MIHAS 2026 untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap syarikat itu dan aktiviti perniagaannya.
Syarikat itu juga menjalin kerjasama dengan pengeluar produk ayam itik yang berpangkalan di Arab Saudi, Tanmiah Food Company, untuk meneroka potensi Malaysia sebagai hab serantau bagi pengembangan perniagaan mereka ke pasaran Asia Tenggara.
Kerjasama itu diperkenalkan secara rasmi semasa pameran berkenaan dengan Tradewinds membuat penampilan sulungnya bersama Tanmiah, yang mengumumkan kerjasama berkenaan pada Persidangan Perniagaan Halal Dunia pada Khamis.
Tanmiah memilih Malaysia sebagai sebahagian daripada pelan pengembangannya berikutan kedudukan geografi negara yang strategik di Asia Tenggara, selain ekosistem halal yang kukuh dan amat dihormati.
"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), seperti yang ramai sedia maklum, menetapkan piawaian halal global dari segi pemprosesan secara terperinci dan menyeluruh, bukan sekadar pensijilan semata-mata.
"Itu adalah salah satu sebab mengapa mereka memilih Malaysia dan Tradewinds sebagai rakan kongsi yang tepat, memandangkan Tradewinds merupakan salah satu korporat makanan terbesar di Malaysia," kata Farhan.
Walaupun mengimport produk ayam itik dari luar negara boleh menjadi cabaran, beliau berkata syarikat itu akan bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan, termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jakim untuk memudah cara pengimportan produk ayam itik Tanmiah ke Malaysia secara berskala besar.
Beliau berkata memandangkan proses itu akan mengambil masa, Tradewinds akan memanfaatkan penyertaannya dalam MIHAS untuk meningkatkan keterlihatannya dalam kalangan agensi kerajaan yang berkaitan dan memohon bantuan mereka untuk mempercepatkan proses berkenaan.
"Proses pertama bagi kami adalah untuk membawa produk mereka ke dalam pasaran Malaysia dan meneroka potensi serta melihat penerimaan pasaran.
“Kemudian, kami akan bergerak ke arah membangunkan kemudahan dan sebarang pelaburan berpotensi lain dalam industri ayam itik akan dilaksanakan melalui kerjasama antara kami,” tambah Farhan.
MIHAS 2026 bertemakan “Shaping Trust, Driving Resilience” (Melakar Kepercayaan, Memacu Daya Tahan), menampilkan 2,000 reruai, 1,700 pempamer dan 450 pembeli antarabangsa dari 58 negara.
Edisi ke-22 MIHAS merekodkan potensi jualan RM5.5 bilion pada hari keempat acara itu, manakala jumlah pengunjung mencecah 30,000 orang setakat hari ketiga, sekali gus berada pada landasan untuk mencapai sasaran 50,000 pengunjung.
-- BERNAMA