Unit Binasat Akan Terima Bayaran Balik RM32.19 Juta Selepas Penamatan SPA Empire City
KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Binasat Communications Bhd, iaitu Binasat Digital Sdn Bhd (BDSB), akan menerima RM32.19 juta daripada Cosmopolitan Avenue Sdn Bhd (CASB) berikutan penamatan penamatan bersama perjanjian jual beli (SPA) untuk Empire City.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Binasat memaklumkan bayaran balik itu terdiri daripada RM29.19 juta yang merupakan jumlah keseluruhan bayaran yang telah dibuat oleh kumpulan untuk pembelian Empire City setakat ini, serta RM3 juta bagi kos dan perbelanjaan yang ditanggung berkaitan dengan pengambilalihan berkenaan.
Menurutnya, penamatan secara bersama itu dicapai selepas mengambil kira, antara lain, kumpulan dibebaskan daripada kewajipan untuk membayar baki secara tunai dan mendapatkan semula bayaran balik berkenaan.
Penamatan itu akan membolehkan kumpulan menyalurkan semula bayaran balik berkenaan kepada perniagaan baharu dan/atau tujuan lain yang akan ditentukan oleh syarikat pada masa akan datang, yang dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan pada masa hadapan.
"Lembaga pengarah setelah mempertimbangkan semua aspek penamatan bersama itu berpendapat tindakan berkenaan adalah demi kepentingan terbaik kumpulan," tambahnya.
Di bawah perjanjian berkenaan, CASB akan membayar balik sebanyak RM32.19 juta dalam dua ansuran -- RM20 juta pada atau sebelum 31 Oktober, 2026 dan RM12.19 juta pada atau sebelum 31 Disember, 2026.
-- BERNAMA