AlphaESS, DB Energy Jalin Kerjasama Untuk Projek Tenaga Pusat Data AI
KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Alpha ESS Malaysia Sdn Bhd (AlphaESS) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan DB Energy Sdn Bhd untuk bekerjasama dalam sistem bekalan kuasa hibrid bersepadu bagi projek pusat data kecerdasan buatan (AI) di Bagan Datuk, Perak.
Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa perkongsian strategik tersebut akan menggabungkan teknologi penyimpanan tenaga bateri serta keupayaan pembuatan AlphaESS dengan kepakaran DB Energy dalam pembangunan dan pelaksanaan projek tempatan.
"Kerjasama ini akan menumpukan kepada pelaksanaan sistem bekalan kuasa hibrid khusus bersepadu, dengan penyimpanan tenaga bateri memainkan peranan penting dalam menyokong infrastruktur kuasa pusat data tersebut," menurut kenyataan itu.
Pengurus Besar AlphaESS Zoe Zhang berkata Malaysia kekal sebagai pasaran penting, dan sektor pusat data yang sedang berkembang mewujudkan keperluan baharu bagi infrastruktur tenaga yang boleh dipercayai serta fleksibel.
"Kerjasama kami dengan DB Energy bagi projek Pusat Data AI Bagan Datuk membolehkan kami menggabungkan teknologi penyimpanan tenaga dan keupayaan pembuatan kami dengan kepakaran projek tempatan yang kukuh," katanya.
MoU itu ditandatangani semasa Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2026, berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 7 hingga 9 Oktober lepas.
Sementara itu, AlphaESS turut melancarkan sistem penyimpanan tenaga bateri komersial dan perindustrian terbaharunya, STORION-LC-TB150, untuk pasaran Malaysia semasa pameran tersebut.
"Sistem 'semua-dalam-satu' dengan penyejukan cecair ini direka untuk membantu pengguna komersial dan perindustrian mengoptimumkan kos tenaga, mengurus permintaan elektrik puncak, mengintegrasikan tenaga boleh baharu serta menyediakan kuasa sandaran," menurut syarikat itu.
-- BERNAMA