BERITA TERKINI   Kanak-kanak lelaki 11 tahun maut akibat kecederaan di kepala dipercayai berpunca senjata api buatan sendiri ‘Ginsok’ di Sook Sabtu lepas - Ketua Polis Daerah Keningau | Polis rampas 42 laras senapang angin, 456 kotak kecil peluru serta tahan lelaki 50 tahun dalam operasi di Sook semalam - Ketua Polis Daerah Keningau | Jerebu: Johor laksana solat hajat di semua masjid dan surau bermula hari ini sehingga keadaan kembali pulih - Exco Mohd Fared | Jerebu: Sekolah di bawah PPD Hulu Langat, Petaling Perdana, Kuala Langat, Sepang, Kuantan dan Rompin turut ditutup esok - Fadhlina | Sekolah di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya ditutup esok - Fadhlina | 

Belanjawan 2027: Pengecualian Duti Setem Rumah Pertama, Projek Terbengkalai Dicadang Disemak Semula

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Pengecualian duti setem bagi pembelian rumah kediaman pertama dicadangkan agar disemak semula untuk terus menyokong pemilikan rumah kediaman pertama oleh warganegara Malaysia. 

Kementerian Kewangan (MoF) menerusi dokumen Langkah Cukai Belanjawan 2027 memaklumkan ini termasuk bagi rumah berharga sehingga RM500,000 yang mana pengecualian duti setem 100 peratus diberikan ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik. 

Bagi rumah berharga melebihi RM500,000 hingga RM750,000, pengecualian duti setem 100 peratus diberikan bagi RM500,000 pertama, manakala baki harga rumah sehingga RM750,000 menikmati pengecualian sebanyak 50 peratus ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik.

Ad Banner

Cadangan itu akan berkuat kuasa bagi perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik yang melibatkan perjanjian jual beli disempurnakan mulai 1 Jan, 2027 hingga 31 Dis, 2030.

Pada masa ini, pengecualian duti setem 100 peratus diberikan ke atas perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik bagi pembelian rumah kediaman pertama berharga sehingga RM500,000 oleh warganegara Malaysia.

Pengecualian sedia ada itu terpakai bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Jan, 2021 hingga 31 Dis, 2027.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, dalam dokumen yang sama, MoF mencadangkan untuk mengembalikan pengecualian duti setem 100 peratus bagi perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik yang berkaitan dengan pemulihan projek perumahan terbengkalai bagi tempoh 1 Jan, 2027 hingga 31 Dis, 2030.

Cadangan itu bertujuan menyokong pelaksanaan program Reformasi Perumahan MADANI bagi mencapai sasaran sifar projek perumahan terbengkalai menjelang 2030.

Pengecualian itu akan diberikan kepada kontraktor atau pemaju penyelamat serta pembeli asal rumah terbengkalai, melibatkan perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik yang disahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pada masa ini, bagi kontraktor atau pemaju penyelamat, pengecualian berkenaan meliputi perjanjian pinjaman untuk tujuan pembiayaan serta surat cara pindah milik tanah atau projek perumahan terbengkalai.

Sementara itu, pembeli asal rumah terbengkalai akan menikmati pengecualian bagi perjanjian pinjaman untuk pembiayaan tambahan serta surat cara pindah milik rumah kediaman.

Pengecualian duti setem 100 peratus diberikan bagi urus niaga berkaitan pemulihan projek perumahan terbengkalai untuk perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik yang disempurnakan antara 1 Jan, 2013 hingga 31 Dis, 2025.

-- BERNAMA