Kerajaan Lanjutkan Galakan Cukai Pelabur Mangkin, Elaun Modal Dipercepatkan Hingga 2030
KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Kerajaan mencadangkan agar galakan cukai bagi Pelabur Mangkin (Angel Investor) dilanjutkan empat tahun lagi untuk terus menarik minat pelabur bagi menyediakan pendanaan modal kepada syarikat pemula niaga teknologi.
Dalam dokumen langkah cukai yang diterbitkan, Kementerian Kewangan memaklumkan pelabur mangkin yang melabur dalam saham biasa syarikat pemula niaga teknologi di peringkat 'pre-seed' dan 'seed' layak mendapat pengecualian cukai.
Katanya pengecualian itu diberikan ke atas pendapatan agregat individu bersamaan dengan amaun pelaburan yang dibuat dalam syarikat pemula niaga teknologi berkenaan.
Sebelum ini, insentif berkenaan ditetapkan berkuat kuasa bagi pelaburan yang dilakukan mulai 1 Januari, 2013 hingga 31 Disember, 2026.
Dengan pelanjutan terbaharu itu, galakan cukai berkenaan berkuat kuasa bagi pelaburan yang dibuat bermula 1 Januari, 2027 hingga 31 Disember, 2030.
Dalam pada itu, kerajaan juga mencadangkan pelanjutan galakan cukai Elaun Modal Dipercepatkan (Accelerated Capital Allowance – ACA) bagi perbelanjaan modal layak untuk tempoh empat tahun lagi, bermula 1 Januari, 2027 hingga 31 Disember, 2030.
Langkah ini bertujuan merancakkan pelaburan langsung domestik serta mempercepatkan proses adaptasi teknologi digital dalam kalangan perniagaan tempatan.
Di bawah insentif ini, syarikat layak menuntut perbelanjaan modal sepenuhnya dalam tempoh dua tahun dengan kadar Elaun Permulaan sebanyak 20 peratus dan Elaun Tahunan sebanyak 40 peratus.
Antara perbelanjaan modal yang layak merangkumi perolehan jentera berat daripada pengeluar tempatan, perolehan loji dan jentera am daripada pengeluar tempatan dan pembelian peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan pakej perisian komputer.
Selain itu, perbelanjaan modal layak juga meliputi fi perundingan, pelesenan dan bayaran sampingan berkaitan pembangunan perisian komputer secara khusus.
Sebelum ini, kemudahan galakan cukai ACA berkenaan berkuat kuasa bagi perbelanjaan modal layak yang dilakukan mulai 1 Oktober, 2025 hingga 31 Disember, 2026.
--BERNAMA