Meta, KUSKOP Perkasa PMKS Malaysia Dengan AI, WhatsApp Business
KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia bakal mendapat akses kepada latihan percuma untuk memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan WhatsApp Business bagi meningkatkan produktiviti serta mengembangkan perniagaan menerusi Akademi Pertumbuhan Perniagaan Kecil (SBGA), yang dilancarkan Meta Platforms Inc dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Inisiatif itu turut membantu PMKS mencari serta berhubung dengan pelanggan, meningkatkan produktiviti dan mengembangkan perniagaan ke pasaran antarabangsa.
Menurut Meta dalam satu kenyataan, kajian mendapati lapan daripada 10 rakyat Malaysia lebih memilih kaedah pemesejan untuk berhubung dengan perniagaan.
SBGA menyediakan webinar percuma dan bengkel secara bersemuka mengenai pengiklanan berasaskan AI, Instagram Reels berprestasi tinggi, WhatsApp Business, perdagangan rentas sempadan serta Meta Business Agent yang baharu dilancarkan.
Meta Business Agent ialah ejen AI yang membantu perniagaan memberi respons kepada pelanggan sepanjang masa secara langsung menerusi ruang sembang sedia ada.
“Semua kandungan latihan SBGA turut disediakan secara percuma menerusi platform pembelajaran dalam talian Meta Blueprint, sekali gus membolehkan lebih banyak perniagaan kecil di Malaysia mengaksesnya,” menurut konglomerat teknologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata SBGA menyokong inisiatif PowerUp10K kerajaan untuk meningkatkan kapasiti 100,000 usahawan di seluruh negara.
“PMKS merangkumi 97 peratus daripada perniagaan kita dan hampir separuh daripada tenaga kerja.
“Apabila penjual tempatan di Pulau Pinang atau Sarawak diperkasa dengan WhatsApp Business dan teknologi AI, kita bukan sahaja membantu satu perusahaan berkembang, malah semakin menghampiri matlamat PMKS menyumbang separuh daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2030,” katanya seperti dipetik dalam kenyataan itu.
SBGA merupakan kesinambungan program peningkatan kemahiran PMKS Meta bersama rakan kerajaan, termasuk Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), SME Corporation Malaysia, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Program berkenaan telah memanfaatkan lebih 6,500 perniagaan di Malaysia sejak 2022.
-- BERNAMA