BERITA TERKINI   Jerebu: Semua sekolah bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah Lubok Antu ditutup esok - Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak | Beberapa kawasan kekal berisiko alami jerebu dengan jarak penglihatan terhad pada 27 hingga 31 Ogos - KP MetMalaysia | Sambutan Hari Kebangsaan: Kepekatan jerebu yang tinggi berpotensi berlaku di Putrajaya sehingga 31 Ogos - KP MetMalaysia | Banjir Nepal : Wisma Putra gesa orang awam henti spekulasi, kongsi maklumat tidak sahih | Majlis Amanat Perdana akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 9.30 malam, 30 Ogos ini - Jawatankuasa Kerja Sambutan HKHM | 

Mulpha International Catat Untung Bersih Lebih Rendah Pada Suku Kedua Kepada RM170.80 Juta

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Mulpha International Bhd (Mulpha International) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM170.80 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir pada 30 Jun 2026 (S2 TK2026), berbanding RM270.85 juta dalam suku yang sama pada tahun kewangan sebelumnya. 

Menurut syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, penurunan keuntungan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh keuntungan sekali sahaja daripada penjualan 15.8 peratus kepentingan ekuiti kumpulan dalam Hydra RL Topco Pty Ltd pada suku yang sama sebelumnya. 

Perolehan meningkat kepada RM263.13 juta dalam suku kedua tahun kewangan 2026 berbanding RM201.63 juta yang dicatatkan dalam suku yang sama tahun sebelumnya. 

Ad Banner

Mengenai prospek, Mulpha International memaklumkan bahawa portfolio kumpulan itu yang pelbagai, merangkumi hospitaliti dan rekreasi, pembangunan kediaman dan pelaburan hartanah, bakal memberikan daya tahan bagi mengharungi persekitaran operasi yang tidak menentu pada baki tahun 2026. 

“Permintaan bagi kediaman di Australia dijangka kekal lemah, sekali gus mencerminkan penurunan keyakinan pembeli berikutan pengetatan monetari oleh Bank Rizab Australia pada 2026 sehingga kini dan prospek tindakan dasar selanjutnya, sementara inflasi domestik kekal di atas sasaran.

“Pengumuman perubahan cukai baru-baru ini dalam Belanjawan Persekutuan Australia telah menimbulkan ketidaktentuan yang menyumbang kepada penurunan harga di seluruh pasaran kediaman Australia,” katanya. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu, di Malaysia, Mulpha International memaklumkan bahawa operasi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dijangka menyokong aktiviti ekonomi dalam tempoh jangka sederhana, dengan pembangunan pusat rekreasi kumpulan itu dijangka mendapat manfaatnya.

-- BERNAMA