Ringgit Ditutup Rendah Berbanding Dolar AS Susulan Sentimen Berhati-hati
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS pada Khamis susulan sentimen berhati-hati menjelang simposium Jackson Hole Rizab Persekutuan AS (Fed).
Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.0305/0350 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.0240/0280 pada Rabu.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata para pedagang akan memantau dengan teliti ucapan Pengerusi Fed, Kevin Warsh di simposium Jackson Hole esok untuk mendapatkan petunjuk tentang bayangan keputusan kadar faedah Rizab Persekutuan semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 15-16 September depan.
Beliau berkata hutang kerajaan AS, yang kini berjumlah US$40.1 trilion, ditambah pula dengan peningkatan hasil Perbendaharaan, akan mengakibatkan kos pembayaran balik faedah pinjaman yang lebih tinggi.
“Oleh itu, ramai yang akan menunggu pandangan Warsh berhubung kerumitan antara dasar monetari dan fiskal serta kesannya terhadap kerajaan AS.
"Kami menjangkakan ini boleh membawa kepada status quo Kadar Dana Fed semasa pada 3.50-3.75 peratus. Justeru, ringgit dijangka mendapat sokongan yang baik dalam jangka masa terdekat," katanya kepada Bernama.
Simposium Jackson Hole, yang berlangsung dari 27-29 Ogos, mendapat perhatian meluas kerana ia boleh memberi petunjuk kepada pelabur tentang langkah seterusnya yang akan diambil Fed berkaitan kadar faedahnya.
Jika Fed memberi bayangan akan mengurangkan kadar faedahnya, dolar AS boleh menjadi lemah, sekali gus membantu meningkatkan nilai ringgit.
Sementara itu, ahli strategi global Quintex Intel, Stephen Innes berkata para pedagang terus mengambil pendekatan berhati-hati sementara menunggu ucapan Warsh pada simposium tersebut kerana bayangan daripada ucapan itu berkemungkinan akan menjadi penentu sama ada dolar AS akan meneruskan lantunan semulanya baru-baru ini atau kehilangan momentum.
"Penurunan sedikit ringgit disebabkan terutamanya oleh data inflasi teras AS yang lebih kukuh sedikit daripada jangkaan, yang mengukuhkan kembali jangkaan kenaikan kadar Rizab Persekutuan terutamanya pada Disember.
"Perubahan itu sederhana tetapi dalam keadaan pasaran pertukaran asing yang turun naik ketika ini, ia tetap membawa kesan kepada ringgit," katanya.
Pada penutup dagangan, ringgit ditutup lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.
Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5274/5304 daripada paras penutup 2.5308/5335 pada Rabu, naik berbanding pound Britain kepada 5.4714/4775 daripada 5.4827/4882 dan menokok berbanding euro kepada 4.6919/6971 daripada 4.6940/6987.
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Unit tempatan merosot sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.1686/1724 daripada paras penutup 3.1683/1717 pada Rabu dan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 227.1/227.5 daripada 227.0/227.3.
Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.51/6.53 daripada 6.52/6.54 pada Rabu dan menokok berbanding baht Thailand kepada 12.2534/2715 daripada 12.2791/2959.
-- BERNAMA