Eco Ardence, Missi Care Meterai MoU Tubuh Care Hub 24 Jam
SHAH ALAM, 27 Ogos (Bernama) -- Eco Ardence dan Missi Care Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mewujudkan Pusat Penjagaan 24 jam (Care Hub) di vila bertingkat rendah pertama di perbandaran itu, dengan Missi Care dilantik sebagai pengendali eksklusif pusat berkenaan.
MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Pembangunan Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) bagi Eco Central-North dan Eco Business Park, Datuk Ho Kwee Hong, dan Pengasas Missi Care Sdn Bhd Dr Lim Chin Seng di Galeri Jualan Eco Ardence di sini hari ini.
Vila berkenaan yang dijadualkan dilancarkan tahun ini merupakan kediaman bertingkat rendah pertama di Eco Ardence, sebuah perbandaran pegangan bebas seluas 216.07 hektar di Setia Alam di sini, yang dibangunkan menerusi usaha sama antara EcoWorld dan Cascara Sdn Bhd.
Vila itu dirancang berkonsepkan suasana resort dengan susun atur berketumpatan rendah bagi memberikan lebih privasi dan ruang terbuka kepada isi rumah.
Penduduk akan mempunyai akses kepada 38 kemudahan termasuk Care Hub yang menyediakan sokongan penjagaan 24 jam, khidmat lawatan ke rumah dalam tempoh ditetapkan, nasihat kesihatan profesional, rawatan pertolongan cemas, tindak balas kecemasan bagi resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan penggunaan defibrilator luaran automatik (AED), selain bantuan perhubungan serta rujukan perubatan.
Penilaian kesihatan asas termasuk pemeriksaan tekanan darah dan suhu badan turut disediakan secara percuma.
Ho berkata pemaju mahu menyediakan kemudahan yang boleh dimanfaatkan penduduk dalam kehidupan seharian, di samping menawarkan sokongan ketika berlaku kecemasan.
“Kami mahu menyediakan kemudahan yang boleh digunakan penduduk pada hari biasa dan pada masa sama menjadi sesuatu yang amat dihargai keluarga ketika berdepan situasi sukar. Care Hub memenuhi kedua-dua keperluan itu.
“Banyak isi rumah di Malaysia terdiri daripada tiga generasi yang tinggal di bawah satu bumbung, dengan anak kecil dan ibu bapa yang semakin berusia dalam kediaman yang sama. Apabila bantuan diperlukan, ia perlu diperoleh dengan segera, dan kehadiran petugas penjagaan terlatih di lokasi memastikan bantuan itu sentiasa dekat dengan rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ho berkata Eco Ardence telah berkembang sebagai perbandaran untuk keluarga pada pelbagai peringkat kehidupan, manakala vila berkenaan direka bagi memenuhi keperluan keluarga sedemikian.
“Menyediakan perkhidmatan penjagaan dalam pembangunan kediaman merupakan pendekatan kami untuk merealisasikan konsep penuaan di tempat sendiri dalam perbandaran yang dibangunkan. Kami berterima kasih kepada Missi Care kerana menyertai usaha ini sejak hari pertama. Kehadiran mereka di lokasi menjadikan perkhidmatan ini sebahagian daripada pembangunan itu sendiri,” katanya.
Sementara itu, Lim berkata pengintegrasian perkhidmatan penjagaan sepanjang masa dan program kesihatan harian ke dalam Eco Ardence akan memberikan ketenangan fikiran yang lebih kepada penduduk.
“Kehidupan moden adalah mengenai ketenangan fikiran. Dengan mengintegrasikan perkhidmatan penjagaan sepanjang masa dan program kesihatan harian secara langsung ke dalam Eco Ardence, Missi Care mentakrifkan semula kesejahteraan komuniti, menjadikan penjagaan profesional secara proaktif sebagai sebahagian daripada kehidupan di rumah tanpa kerumitan,” katanya.
Akses kepada Care Hub termasuk dalam yuran penyelenggaraan penduduk kerana ia merupakan sebahagian daripada kemudahan vila berkenaan. Bagaimanapun, perkhidmatan tertentu seperti menukar balutan luka dan pemeriksaan glukosa akan dikenakan bayaran berasingan.
Care Hub akan menganjurkan aktiviti kesejahteraan harian dan bulanan termasuk senaman pagi, permainan papan, pemantauan kesihatan, ceramah kesihatan, aktiviti kraftangan dan sesi membuat kek, serta akan mula beroperasi selepas vila berkenaan siap.
Pendaftaran minat bagi vila bertingkat rendah itu kini dibuka. Maklumat lanjut boleh diperoleh di Galeri Jualan Eco Ardence atau dengan menghubungi 03-5033 2525.
-- BERNAMA