BERITA TERKINI   Jerebu: Semua sekolah bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah Lubok Antu ditutup esok - Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak | Beberapa kawasan kekal berisiko alami jerebu dengan jarak penglihatan terhad pada 27 hingga 31 Ogos - KP MetMalaysia | Sambutan Hari Kebangsaan: Kepekatan jerebu yang tinggi berpotensi berlaku di Putrajaya sehingga 31 Ogos - KP MetMalaysia | Banjir Nepal : Wisma Putra gesa orang awam henti spekulasi, kongsi maklumat tidak sahih | Majlis Amanat Perdana akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 9.30 malam, 30 Ogos ini - Jawatankuasa Kerja Sambutan HKHM | 

IOI Properties Catat Untung Bersih RM2.15 Bilion Bagi Tahun Kewangan 2026

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- IOI Properties Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan bersih kepada RM2.15 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 daripada RM1.06 bilion pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, hasil meningkat 45 peratus kepada RM4.44 bilion berbanding RM3.06 bilion pada tahun kewangan 2025, menurut pemaju hartanah itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

IOI Properties berkata prestasi kukuh kumpulan itu disumbangkan oleh keuntungan daripada penilaian semula South Beach, Singapura sebanyak RM502.8 juta, selain sumbangan kukuh daripada segmen pembangunan hartanah dan pelaburan hartanah.

Ad Banner

Pertumbuhan hasil itu katanya didorong prestasi memberangsangkan ketiga-tiga segmen teras perniagaan, dengan segmen pembangunan hartanah, pelaburan hartanah serta hospitaliti dan rekreasi masing-masing mencatat pertumbuhan 35 peratus, 49 peratus dan 79 peratus.

“Prestasi segmen pembangunan hartanah khususnya mendapat manfaat daripada hasil yang diperoleh menerusi jualan tanah di Jalan Ampang dan Melaka, manakala segmen pelaburan hartanah diperkukuh oleh kadar penghunian fizikal yang lebih tinggi di IOI Central Boulevard Towers serta penambahan South Beach Tower,” katanya.

Bagi suku keempat 2026, keuntungan bersih pemaju hartanah itu susut kepada RM523.11 juta daripada RM823.93 juta, manakala hasil meningkat kepada RM1.38 bilion daripada RM890.20 juta, terutamanya disebabkan prestasi lebih baik merentasi semua segmen.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Lee Yeow Seng berkata prestasi IOI Properties mencerminkan strategi kumpulan dalam mempelbagaikan sumber pendapatan, memanfaatkan permintaan sektor perindustrian serta memperkenalkan produk yang memenuhi kehendak pasaran, di samping meningkatkan produktiviti dan kecekapan merentasi ketiga-tiga segmen perniagaan teras.

“Melangkah ke tahun kewangan 2027, kami menyedari cabaran ekonomi global dan risiko geopolitik mungkin berterusan.

“Bagaimanapun, kumpulan kekal berhati-hati optimistik terhadap prestasi kewangan bagi tahun kewangan ini, disokong permintaan kukuh terhadap tawaran produk kami yang pelbagai dalam segmen pembangunan hartanah serta peningkatan sumbangan daripada segmen pelaburan hartanah,” katanya.

Syarikat itu mengisytiharkan dividen interim dan dividen khas masing-masing sebanyak lapan sen, menjadikan jumlah dividen 16 sen bagi tahun kewangan 2026.

-- BERNAMA