Keyfield Umum Beli Kapal Korek Inai Kenanga Pada Harga US$24.7 Juta
KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Keyfield International Bhd membeli Inai Kenanga, sebuah kapal korek sedutan berkapasiti mega dengan bayaran tunai US$24.7 juta (US$1=RM4.02).
Inai Kenanga dibeli daripada Inai Rimba Sdn Bhd, yang dilantik oleh Malayan Banking Bhd sebagai penerima dan pengurus pada Mac 2024.
Dalam satu kenyataan hari ini, Keyfield turut memaklumkan pemeteraian perjanjian pemegang saham dengan Star Naval 1 Pte Ltd (SNPL), sebuah syarikat yang dimiliki bersama oleh Starhigh Asia Pacific Pte Ltd (Starhigh) dan Naval Elite Ltd.
Menurut syarikat itu, perjanjian berkenaan bertujuan menubuhkan syarikat tujuan khas (SPV) dengan pemilikan pada nisbah 60:40 oleh Keyfield dan SNPL.
“SPV itu akan memiliki dan mengendalikan Inai Kenanga, membolehkan Keyfield dan Starhigh memanfaatkan kekuatan gabungan mereka untuk mendapatkan dan melaksanakan projek pengorekan pada masa depan.
“Keyfield akan membiayai US$23.8 juta untuk pembelian Inai Kenanga, manakala SNPL membayar US$0.9 juta, selain kos pengaktifan semula Inai Kenanga sebanyak US$15.0 juta,” tambahnya.
Inai Kenanga siap pada 2016 dan ia pada ketika itu merupakan kapal korek terbesar di Asia dan ketiga terbesar di dunia.
Dibina dengan kos dilaporkan sebanyak RM1.2 bilion, ia direka untuk kerja-kerja pengorekan berskala besar, penambakan tanah, kejuruteraan marin, projek infrastruktur utama dan pembangunan kawasan pantai.
Di bawah pemilikan terdahulunya, Inai Kenanga telah digunakan untuk pelbagai kerja pengorekan di Malaysia, termasuk tempoh konsesi selama 15 tahun bagi menjalankan kerja-kerja pengorekan dan penambakan di pelabuhan persekutuan.
Anggaran nilai pasaran saksama kapal korek itu, seperti yang dinilai oleh penilai pasaran bebas, adalah sebanyak US$63.7 juta, manakala anggaran kos untuk membina kapal korek yang serupa adalah melebihi US$150.0 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Keyfield Group Datuk Darren Kee Chit Huei berkata selepas pengaktifan semula Inai Kenanga yang dijangka siap pada 2027, syarikat itu dan Starhigh berhasrat menyertai projek-projek pengorekan di Asia Tenggara, terutamanya di Malaysia dan Singapura.
“Dalam jangka panjang, kami menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan aktiviti bukan minyak dan gas kepada sehingga 20 peratus daripada jumlah keuntungan kumpulan.
“Kami juga akan meneruskan strategi kepelbagaian geografi kami dengan berusaha mendapatkan beberapa projek di Timur Tengah dan Thailand serta di negara-negara lain di rantau ini,” tambahnya.
-- BERNAMA