Saham Petronas Gas Naik 0.45 Peratus Dalam Dagangan Awal
KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Harga saham Petronas Gas Bhd (PGB) naik 0.45 peratus dalam dagangan awal hari ini selepas syarikat itu mengumumkan keuntungan bersih yang lebih tinggi bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2026, semalam.
Pada 10.59 pagi, harga saham PGB meningkat lapan sen kepada RM17.66 sesaham, dengan 21,500 saham diniagakan.
Syarikat infrastruktur gas dan utiliti berpusat itu memaklumkan ia mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi kepada RM453.33 juta pada suku kedua tahun kewangan 2026 daripada RM450.19 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.
Bagaimanapun, hasil bagi suku berkenaan susut 5.6 peratus kepada RM1.50 bilion daripada RM1.59 bilion sebelumnya, berikutan hasil yang lebih rendah daripada segmen utiliti susulan penurunan jumlah jualan disebabkan aktiviti penyelenggaraan berjadual.
-- BERNAMA