BERITA TERKINI   Jerebu: Semua sekolah bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah Lubok Antu ditutup esok - Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak | Beberapa kawasan kekal berisiko alami jerebu dengan jarak penglihatan terhad pada 27 hingga 31 Ogos - KP MetMalaysia | Sambutan Hari Kebangsaan: Kepekatan jerebu yang tinggi berpotensi berlaku di Putrajaya sehingga 31 Ogos - KP MetMalaysia | Banjir Nepal : Wisma Putra gesa orang awam henti spekulasi, kongsi maklumat tidak sahih | Majlis Amanat Perdana akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 9.30 malam, 30 Ogos ini - Jawatankuasa Kerja Sambutan HKHM | 

BNM Kenakan Penalti Ke Atas Setel, Standard Chartered Bank, Standard Chartered Saadiq

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan penalti monetari pentadbiran terhadap Setel Ventures Sdn Bhd, Standard Chartered Bank Malaysia Bhd, dan Standard Chartered Saadiq Bhd atas kegagalan mematuhi keperluan berkaitan sekatan kewangan bersasar (TFS).

BNM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Setel dikenakan penalti monetari pentadbiran sebanyak RM637,000 pada 15 April 2026, kerana gagal mengemas kini pangkalan data sekatan sebaik sahaja Senarai Domestik diterbitkan.

“Setel juga gagal melakukan saringan sekatan ke atas seluruh pangkalan data pelanggan mengikut Senarai Domestik untuk mengenal pasti sama ada padanan yang berpotensi merupakan padanan tepat,” maklum bank pusat.

Ad Banner

Menurut BNM, ketidakpatuhan itu berpunca daripada kelemahan dalam prosedur operasi standard (SOP) dan sistem saringan sekatan Setel. 

“Bagaimanapun Setel telah menjalankan langkah-langkah pemulihan dengan mengemas kini dan membaiki kelemahan SOP serta menambah baik sistem dalaman bagi memastikan kepatuhan terhadap keperluan TFS,” maklum BNM.

Pada 6 Mei 2026, Setel telah membayar RM637,500 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan BNM memaklumkan telah mengenakan AMP sebanyak RM132,000 terhadap Standard Chartered Bank Malaysia (SCB) dan Standard Chartered Saadiq (SCS) selepas gagal mengemas kini pangkalan data sekatan sebaik sahaja Senarai Domestik diterbitkan. 

“Ini menyebabkan saringan sekatan dilakukan berdasarkan pangkalan data yang tidak dikemas kini. Bagaimanapun, tiada entiti yang tersenarai telah didaftar sebagai pelanggan yang baharu dan (kedua-dua) bank itu tidak menjalankan apa-apa transaksi yang melibatkan entiti berkenaan.

“Ketidakpatuhan ini berpunca daripada kelemahan dalam kawalan saringan sekatan bank-bank tersebut, serta kelemahan dalam memastikan proses saringan tersebut sejajar dengan keperluan kawal selia,” menurut bank pusat.

BNM memaklumkan kedua-dua bank itu telah mengambil langkah-langkah pemulihan untuk memperkukuh kawalannya dan meningkatkan keberkesanan pengurusan saringan sekatan termasuk memantapkan fungsi pemantauan dan meningkatkan kawalan saringan sekatan yang tepat pada masanya bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan TFS.

Pada 15 Jun 2026, Standard Chartered Bank dan Standard Chartered Saadiq masing-masing telah membayar RM132,000 untuk AMP yang dikenakan oleh BNM. 

Menurut bank pusat, tindakan penguatkuasaan itu selaras dengan pendekatan dan proses yang digariskan dalam Pendekatan Penguatkuasaan.

-- BERNAMA