Untung Bersih Suku Kedua Petronas Gas Meningkat Kepada RM453.33 Juta
KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Petronas Gas Bhd (PGB) mencatatkan peningkatan keuntungan bersih kepada RM453.33 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 daripada RM450.19 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
Bagaimanapun, hasil bagi suku berkenaan susut 5.6 peratus kepada RM1.50 bilion daripada RM1.59 bilion sebelumnya, berikutan hasil lebih rendah daripada segmen utiliti susulan penurunan jumlah jualan berikutan aktiviti penyelenggaraan berjadual.
“Impak penurunan itu berjaya diimbangi oleh hasil lebih tinggi daripada segmen pengangkutan gas susulan pelarasan tarif ke atas serta peningkatan sumbangan segmen pengegasan semula hasil daripada perkhidmatan penyimpanan gas asli cecair (LNG) di Pengerang, Johor, yang mula beroperasi pada Ogos 2025,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
PGB berkata hasil segmen pengangkutan gas pada suku berkenaan meningkat 12.7 peratus kepada RM320.5 juta daripada RM284.3 juta pada suku kedua tahun sebelum itu, terutamanya disebabkan tarif tempoh kawal selia ketiga (RP3) yang lebih tinggi, disokong pertumbuhan asas aset dikawal selia berikutan kejayaan pelaksanaan projek RP2.
“Ini turut disokong pelarasan tarif ke atas, terutamanya faktor perkongsian bagi menampung kekurangan pemulihan harga penggunaan gas dalaman (IGC) pada tahun sebelumnya, selaras dengan rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) Suruhanjaya Tenaga,” katanya.
Bagi tempoh enam bulan pertama 2026, keuntungan bersih kumpulan susut kepada RM892.02 juta daripada RM918.98 juta dalam tempoh sama tahun lepas, manakala hasil turun 3.1 peratus kepada RM3.09 bilion daripada RM3.18 bilion sebelumnya.
“Penurunan prestasi itu disebabkan terutamanya oleh hasil lebih rendah daripada segmen utiliti susulan penurunan jumlah jualan akibat aktiviti penyelenggaraan berjadual yang dirancang, selain harga produk yang lebih rendah sejajar dengan penurunan harga gas bahan api,” kata PGB.
Mengenai prospek, PGB dijangka terus mencatatkan prestasi kukuh pada 2026, disokong pendapatan stabil daripada perniagaan dikawal selia dan kontrak jangka panjang, selain prestasi operasi yang berterusan.
Kumpulan itu berkata ia terus memberi perhatian terhadap tekanan margin susulan harga gas bahan api yang lebih tinggi dan peningkatan kos operasi, selain komited mengurangkan tekanan kos menerusi pengurusan kos berdisiplin dan pengoptimuman penggunaan aset.
“Kami akan terus memperkukuh daya tahan operasi, kecemerlangan komersial dan pengoptimuman kos, di samping mengekalkan operasi yang selamat dan boleh dipercayai, dengan memberi tumpuan kepada penciptaan nilai jangka panjang untuk para pemegang saham,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PGB Abdul Aziz Othman berkata prestasi kukuh PGB mencerminkan kekuatan perniagaan kumpulan yang dikawal selia dan berkontrak jangka panjang, disokong pengurusan kos berdisiplin, kebolehpercayaan aset yang tinggi serta pengurusan aset secara proaktif.
“Meskipun kumpulan terus berdepan tekanan margin akibat aktiviti penyelenggaraan yang dirancang dan persekitaran kos yang berubah, PGB kekal memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan operasi, mengoptimumkan penggunaan aset dan memacu penciptaan nilai yang mampan untuk pihak berkepentingan,” katanya.
-- BERNAMA