BERITA TERKINI   SUKMA 2026: Kontinjen Selangor sapu bersih dua emas menerusi acara bola keranjang 3x3 lelaki dan wanita | Anak syarikat milik penuh Gamuda Bhd di Australia, DT Infrastructure Pty Ltd peroleh dua kontrak EPC dengan nilai keseluruhan RM1.64 bilion | APMM akan terima tiga lagi helikopter AW189 pada Disember ini - Saifuddin Nasution | APMM dijangka terima sebuah kapal induk pada suku pertama tahun hadapan - Saifuddin Nasution | Nilai kerja sektor pembinaan meningkat 8.8 peratus tahun ke tahun kepada RM47.8 bilion pada suku kedua 2026, didorong aktiviti pertukangan khas, bangunan bukan kediaman - DOSM | 

Pengeluaran Getah Asli Malaysia Melonjak 31.5 Peratus Pada Jun 2026 - DOSM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 31.5 peratus kepada 26,553 tan pada Jun 2026 daripada 20,198 tan pada Mei 2026.

Dalam laporan Perangkaan Getah Bulanan bagi Jun 2026, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 1.2 peratus daripada 26,249 tan pada Jun 2025.

“Pengeluaran getah asli di Malaysia pada Jun 2026 sebahagian besarnya disumbangkan oleh pekebun kecil (88.7 peratus) berbanding estet (11.3 peratus),” menurutnya.

Ad Banner

DOSM memaklumkan jumlah stok getah asli meningkat sebanyak 5.2 peratus kepada 129,524 tan pada Jun 2026 daripada 123,149 tan pada Mei 2026.

“Kilang pemproses getah menyumbang 77.8 peratus daripada jumlah stok, diikuti kilang pengguna getah (22.1 peratus) dan estet getah (0.1 peratus),” tambahnya.

Menurut DOSM, eksport getah asli Malaysia mencecah 38,862 tan pada Jun 2026, iaitu peningkatan sebanyak 35.2 peratus daripada 28,742 tan pada Mei 2026.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli, menyumbang 55.8 peratus daripada jumlah eksport getah asli pada Jun 2026, diikuti Jerman (11.5 peratus), Amerika Syarikat (AS) (6.7 peratus), Türkiye dan India (masing-masing 3.1 peratus).

“Produk-produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub getah dan benang getah menyumbang kepada prestasi eksport,” menurutnya.

Tambah laporan itu, sarung tangan getah merupakan eksport utama dalam kalangan produk berasaskan getah, bernilai RM1.4 bilion pada Jun 2026, iaitu peningkatan sebanyak 19.7 peratus daripada RM1.2 bilion pada Mei 2026.

DOSM memaklumkan harga purata bulanan lateks pekat susut 3.6 peratus kepada 735.82 sen sekilogram pada Jun 2026 daripada 763.16 sen sekilogram pada Mei 2026.

Bagi harga purata bulanan getah sekerap meningkat 6.0 peratus kepada 792.76 sen sekilogram pada Jun 2026 daripada 747.78 sen sekilogram pada Mei 2026.

-- BERNAMA