QuantumNexis Sediakan Penilaian Kesihatan Mental Menerusi TnG Digital

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- QuantumNexis Sdn Bhd menyediakan penilaian kesihatan mental kepada pengguna melalui MindCare by Ziloy, yang boleh diakses menerusi aplikasi tunggal dalam TNG Digital, dengan lebih 26 juta pengguna di Malaysia.

Pengerusi QuantumNexis Malaysia Dr Suresh Venkatachari berkata platform itu bertujuan menyediakan akses mudah untuk penilaian kesihatan mental dan sokongan profesional kepada rakyat Malaysia susulan stigma yang menyelubungi isu kesihatan mental.

“Memandangkan stigma kesihatan mental masih agak tinggi di Malaysia, orang ramai boleh mengklik dan mengakses penilaian kesihatan mental sebelum menghubungi profesional, sama ada kaunselor, ahli psikologi klinikal atau pakar psikiatri.

Ad Banner

“Melalui platform ini, pengguna boleh mengakses soal selidik untuk memahami kesejahteraan mental masing-masing dan menentukan langkah yang boleh mereka ambil kemudian. MindCare by Ziloy merupakan platform lengkap yang menyepadukan sokongan profesional untuk meningkatkan kualiti hidup,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran MindCare by Ziloy di sini hari ini.

Beliau berkata platform yang menggabungkan ciri kecerdasan buatan (AI) itu diwujudkan untuk menyediakan sokongan kesejahteraan mental yang mudah dan boleh diakses sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian pengguna.

“Platform kami sangat kukuh, menyediakan akses mudah dan menggabungkan ciri AI untuk membantu pengguna menjadikannya sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian mereka. Orang ramai hanya perlu log masuk dan menyemak kesejahteraan mental masing-masing.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Kami bekerjasama dengan TNG dan gembira atas kerjasama ini. Kami bekerjasama selama kira-kira enam bulan untuk merealisasikan perkhidmatan mudah diakses ini. TNG bukan sahaja penyedia pembayaran malah juga penyedia penjagaan. Kami yakin kerjasama ini mengukuhkan kedua-dua belah pihak,” katanya.

Suresh berkata berdasarkan lebih 26 juta pengguna TNG Digital di Malaysia, platform itu mempunyai potensi yang besar untuk meluaskan akses kepada sokongan kesihatan mental, terutama memandangkan prevalens masalah kesihatan mental di negara ini.

“Kami menjangkakan setiap orang menilai kesejahteraan mental mereka, dan sasaran kami sekurang-kurangnya 10 peratus pelanggan TNG akan mengakses MindCare by Ziloy,” katanya.

Beliau berkata QuantumNexis juga merancang untuk mengembangkan MindCare by Ziloy ke Indonesia dan Singapura dalam tempoh enam bulan, susulan pelancaran di Malaysia.

“Kami melihat Malaysia sebagai model untuk kami membawa platform ini ke Indonesia, yang mempunyai potensi besar didorong landskap geografinya yang banyak pulau di samping akses terhad kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perubatan QuantumNexis Malaysia Datuk Dr Andrew Mohanraj berkata keadaan kesihatan mental dalam kalangan rakyat Malaysia semakin membimbangkan dengan perangkaan menunjukkan seorang daripada tiga orang dewasa mengalami beberapa bentuk kebimbangan kesihatan mental.

Andrew, yang juga presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia berkata bagaimanapun, angka itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai bermaksud bahawa seorang daripada tiga rakyat Malaysia mempunyai penyakit mental.

Ini kerana sesetengahnya mungkin hanya mengalami gejala yang berkemungkinan berkembang menjadi atau konsisten dengan keadaan kesihatan mental, katanya.

“Malaysia tidak bersendirian dalam hal ini, kerana wujud trend ke arah peningkatan kebimbangan mengenai kesihatan mental di seluruh dunia, terutama ekoran pandemik COVID-19, dengan kesan psikologi pandemik yang masih belum dapat diatasi sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata kesihatan mental di tempat kerja merupakan satu lagi perkara yang memerlukan perhatian yang lebih serius memandangkan jumlah masa yang diperuntukkan individu di tempat kerja adalah besar dan berkait rapat antara kesejahteraan mental dan produktiviti.

“Isu kesihatan mental di tempat kerja dijangka memberikan impak ekonomi bernilai sehingga RM100 bilion menjelang 2030 jika tiada intervensi yang sesuai dilaksanakan,” katanya.

Andrew berkata pelancaran MindCare by Ziloy bertujuan membantu menggalakkan perbincangan mengenai kesihatan mental dan mendorong rakyat Malaysia mengambil langkah pertama dalam mendapatkan sokongan.

Beliau berkata platform itu kini mempunyai kira-kira 10 pakar psikiatri sebagai panel serta ahli psikologi klinikal dan kaunselor, dengan bilangan profesional dijangka meningkat.

-- BERNAMA