Keadaan Pembiayaan PKS Kekal Kondusif, Namun Perniagaan Perlu Terus Buat Penyesuaian - Gabenor BNM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Keadaan pembiayaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) secara keseluruhannya kekal kondusif, dengan bank dan institusi kewangan pembangunan (DFI) terus menyediakan pembiayaan kepada perniagaan yang berdaya maju.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) turut memainkan peranan penting sebagai pelengkap, memudah cara lebih RM103 bilion dalam jaminan dan pembiayaan kepada lebih 544,000 PKS sejak penubuhannya.

“Itu pencapaian yang besar. Namun, angka sahaja tidak memberikan gambaran menyeluruh,” katanya dalam ucapan pada majlis CGC Awards 2025 baru-baru ini.

Ad Banner

Beliau berkata PKS perlu terus membuat penyesuaian, memperkukuh keupayaan dan meningkatkan produktiviti berikutan langkah bantuan sementara tidak boleh menjadi penyelesaian jangka panjang kepada kejutan berulang.

Beliau berkata banyak PKS terus berdepan dengan kos input yang tinggi, margin yang mengecil, gangguan rantaian bekalan dan kelewatan pembayaran daripada pelanggan, yang meningkatkan tekanan terhadap modal kerja dan menguji daya tahan perniagaan.

“Kita tahu bahawa dalam tempoh gangguan, langkah bantuan bersasar membantu perniagaan yang berdaya maju mengatasi tekanan aliran tunai sementara. Sokongan sedemikian adalah penting.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Bagaimanapun, bantuan sementara tidak boleh menjadi penyelesaian jangka panjang kepada kejutan berulang. Perniagaan perlu terus membuat penyesuaian, memperkukuh keupayaan dan meningkatkan produktiviti manakala pembiayaan berkembang seiring dengannya,” katanya.

Menurut Abdul Rasheed, perniagaan hari ini beroperasi dalam persekitaran yang dibentuk oleh ketidaktentuan geopolitik, perubahan teknologi yang pesat dan gangguan berkaitan iklim yang semakin kerap.

“Bagi PKS, perubahan ini bukan sekadar trend global. Ia memberi impak kepada kos input, menjejaskan rantaian bekalan, mempengaruhi tingkah laku dan permintaan pelanggan, serta yang lebih penting, memerlukan keupayaan yang tinggi untuk bersaing,” katanya.

Abdul Rasheed berkata peranan PKS menjadi semakin penting dalam memacu transformasi Malaysia ke arah ekonomi yang lebih produktif, kompetitif dan mampan.

Beliau berkata persoalannya bukan lagi sekadar sama ada pembiayaan boleh didapati tetapi sama ada pembiayaan berkembang, sesuai dengan perubahan dalam model perniagaan dan mencerminkan profil risiko PKS.

“Walaupun peluang pembiayaan boleh didapati dalam sistem, sebahagian PKS yang berdaya maju masih bergelut untuk mengaksesnya kerana potensi mereka tidak dapat dicerminkan melalui penilaian kredit konvensional,” katanya.

Abdul Rasheed berkata institusi kewangan perlu bersedia untuk memperluas akses pembiayaan dengan mencapai perniagaan di luar kelompok yang lazim, cagaran konvensional dan sektor yang mapan dalam Malaysia memajukan rantaian nilai.

Beliau berkata perniagaan perlu dinilai secara menyeluruh selain cagaran dan penyata kewangan dengan mempertimbangkan faktor seperti aliran tunai, rekod transaksi, corak pembayaran dan maklumat rantaian bekalan.

Katanya akses kepada pembiayaan perlu seiring dengan pembinaan keupayaan berikutan kejayaan PKS jangka panjang turut bergantung pada produktiviti, kekuatan pengurusan, penggunaan teknologi dan akses kepada pasaran baharu.

-- BERNAMA