Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi Susulan Kebimbangan Fiskal Global
Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Selasa, berikutan kebimbangan fiskal global, peningkatan beban hutang kerajaan serta persoalan berterusan mengenai kemampanan kedudukan kewangan dalam jangka panjang.
Pakar Strategi Global Quintex Intel Stephen Innes berkata logam berharga itu terus diniagakan dengan daya tahan yang kukuh meskipun berdepan persekitaran makroekonomi tradisional yang agak mencabar.
“Hasil Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi, dolar AS yang lebih kukuh dan harga minyak yang turut meningkat, yang pada awalnya mengurangkan daya tarikan emas ketika peringkat awal konflik AS-Iran, masih tidak mampu melemahkan permintaan terhadap emas,” katanya kepada Bernama.
Innes seterusnya berkata permintaan struktur turut diperkukuh di Asia apabila People's Bank of China terus menambah pegangan emas, manakala pelabur China kekal sebagai pembeli aktif dana dagangan bursa emas.
“Ini bermaksud prestasi emas ketika ini tidak begitu terjejas oleh beberapa tekanan kitaran yang lazim kerana pasaran lebih memberi perhatian kepada peranannya sebagai lindung nilai fiskal dan monetari untuk jangka panjang,” katanya.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Ogos 2026 meningkat kepada US$4,424.20 setiap auns troy daripada US$4,380.9 setiap auns troy sebelum ini, manakala September 2026 naik kepada US$4,445.9 setiap auns troy daripada US$4,396.9 setiap auns troy.
Kontrak Oktober 2026, November 2026 dan Disember 2026 masing-masing meningkat kepada US$4,457.6 setiap auns troy daripada US$4,412.4 setiap auns troy sebelum ini.
Jumlah dagangan susut kepada 169 lot daripada 189 lot semalam, manakala kepentingan terbuka meningkat sedikit kepada 269 kontrak daripada 264 kontrak sebelumnya.
Emas fizikal ditetapkan pada US$4,383.35 setiap auns troy ketika penetapan petang London Bullion Market Association (LBMA) pada 11 Ogos, 2026.
-- BERNAMA