Bursa Malaysia Ditutup Paras Tertinggi Intra Hari, Dipacu saham Utiliti, Petrokimia
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi intra hari pada Rabu, didorong minat belian terhadap saham utiliti dan petrokimia susulan harga minyak mentah yang kekal tinggi.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 10.15 mata atau 0.59 peratus kepada 1,741.61 berbanding paras 1,731.46 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 0.01 mata lebih tinggi pada 1,731.47 dan susut ke paras terendah 1,728.64 pada awal dagangan sebelum memperoleh momentum sepanjang hari. Aktiviti belian ketika dagangan saat akhir mendorong indeks ditutup pada paras tertinggi intra hari.
Dalam pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 661 berbanding 512, manakala 600 kaunter tidak berubah, 1,014 kaunter tidak diniagakan dan 13 kaunter digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.70 bilion unit bernilai RM3.27 bilion berbanding 3.43 bilion unit bernilai RM2.94 bilion pada Selasa.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup tinggi, disokong kenaikan saham utiliti dan petrokimia ketika harga minyak mentah menghampiri US$90 setong.
Beliau berkata prestasi itu secara keseluruhannya sejajar dengan trend pasaran baru-baru ini apabila pelabur terus beralih kepada sektor berkaitan komoditi, dengan harga minyak yang tinggi meningkatkan prospek pendapatan bagi kaunter berkaitan tenaga.
“Peralihan minat mengikut sektor ini semakin ketara sejak dua bulan lepas apabila risiko geopolitik menyebabkan harga tenaga kekal tinggi.
“Bagaimanapun, harga minyak mentah yang lebih tinggi menjejaskan sentimen serantau secara keseluruhan apabila kebanyakan pasaran ekuiti Asia ditutup rendah berikutan pelabur menilai semula kesan peningkatan kos tenaga terhadap inflasi, kadar faedah dan pendapatan korporat,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menokok empat sen kepada RM10.60, Public Bank tidak berubah pada RM5.19, CIMB Group meningkat tiga sen kepada RM7.92, Tenaga Nasional menambah 24 sen kepada RM14.58, manakala IHH Healthcare kekal pada RM8.35.
Bagi kaunter paling aktif, Dagang NeXchange meningkat 3.5 sen kepada 53 sen, Nexgram Holdings menokok setengah sen kepada enam sen, Zetrix AI naik 2.5 sen kepada 74 sen, Top Glove Corporation meningkat setengah sen kepada 66.5 sen, manakala VS Industry susut setengah sen kepada 24 sen.
Antara kaunter untung utama, United Plantations meningkat 40 sen kepada RM33.60, Nestle menokok 30 sen kepada RM102.90, UMS Integration naik 28 sen kepada RM8.15, Hengyuan Refining melonjak 25 sen kepada RM1.95, manakala Petronas Chemicals meningkat 21 sen kepada RM4.65.
Bagi kaunter rugi utama, Malaysian Pacific Industries susut 60 sen kepada RM47.50, Hong Leong Industries turun 34 sen kepada RM17.64, Ideal Capital merosot 17 sen kepada RM3.50, THMY Holdings turun 15 sen kepada RM1.86, manakala Batu Kawan turun 14 sen kepada RM20.74.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 64.47 mata kepada 12,918.70, Indeks FBMT 100 naik 62.00 mata kepada 12,728.83, Indeks FBM Emas Shariah menokok 66.70 mata kepada 12,770.88, Indeks FBM 70 meningkat 37.89 mata kepada 18,435.81 dan Indeks FBM ACE menambah 34.21 mata kepada 5,203.43.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 25.82 mata kepada 20,400.03, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.38 mata kepada 190.35 dan Indeks Tenaga menokok 12.52 mata kepada 785.74, manakala Indeks Perladangan susut 15.66 mata kepada 9,468.34.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.94 bilion unit bernilai RM2.90 bilion berbanding 1.61 bilion unit bernilai RM2.59 bilion pada Selasa.
Jumlah dagangan waran susut kepada 1.08 bilion unit bernilai RM140.95 juta berbanding 1.23 bilion unit bernilai RM157.60 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 668.48 juta unit bernilai RM227.01 juta daripada 589.47 juta unit bernilai RM184.37 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 210.36 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (362.18 juta), pembinaan (116.34 juta), teknologi (594.64 juta), perkhidmatan kewangan (66.75 juta), hartanah (133.99 juta), perladangan (42.79 juta), amanah pelaburan hartanah (REIT) (15.38 juta), dana tertutup (315,900), tenaga (109.89 juta), penjagaan kesihatan (116.53 juta), telekomunikasi dan media (53.21 juta), pengangkutan dan logistik (51.18 juta), utiliti (74.95 juta) dan amanah perniagaan (165,300).
-- BERNAMA