Harga Minyak, Data AS Positif Pacu Pasaran Getah Ditutup Tinggi
Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur mengakhiri dagangan Rabu dengan lebih tinggi, didorong oleh harga minyak mentah yang lebih mengukuh, kata peniaga.
Beliau berkata ini turut dipacu oleh kenaikan harga minyak apabila jangkaan perjanjian damai Amerika Syarikat (AS) dan Iran semakin kabur dan hanya meningkatkan lagi kebimbangan mengenai potensi gangguan bekalan di Asia Barat.
Setakat berita ini ditulis, harga harga minyak mentah Brent meningkat 0.69 peratus kepada US$89.52 setong.
Selain itu, beliau berkata data ekonomi AS yang positif juga menyokong sentimen pasaran.
“Indeks keyakinan perniagaan kecil AS meningkat 2.4 mata kepada 99.8 pada Julai lepas iaitu paras tertinggi dalam tempoh 11 bulan, sekali gus membuktikan peningkatan keyakinan terhadap keadaan ekonomi negara itu,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, lonjakan harga itu telah dihadkan oleh data jualan kereta domestik China yang suram.
“Jualan kereta domestik China susut 21.1 peratus pada Julai iaitu penurunan bagi bulan ke-10 berturut-turut, manakala eksport kenderaan melonjak 88.2 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) meningkat 7.50 sen kepada 917.50 sen sekilogram manakala lateks pukal kekal tidak berubah pada 692.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA