Pemain TBB Perlukan Penilaian Risiko Lebih Fleksibel Untuk Tingkat Daya Maju Kewangan Projek – SEDA
Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Menjamin daya maju kewangan projek dan menyesuaikan dengan pendekatan penilaian risiko konvensional merupakan antara cabaran yang dihadapi sektor tenaga boleh baharu (TBB) Malaysia.
Ini meskipun terdapatnya pembiayaan hijau dan komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) oleh institusi kewangan, kata Ketua pegawai strategi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Saiful Hakim Abdul Rahman.
Beliau berkata institusi kewangan perlu menilai semula cara mereka menilai risiko untuk teknologi tenaga hijau yang baharu dan beralih daripada pendekatan sekarang yang sering bergantung pada instrumen pengurusan risiko konvensional.
Katanya, sumber TBB menghadapi cabaran yang berbeza bergantung pada sumbernya, sama ada solar, hidro atau biotenaga.
"Untuk mewujudkan projek yang berdaya maju dan boleh diyakini adalah sukar kerana ia bukan sahaja tentang sumber atau mekanisme, tetapi juga bagaimana untuk menggabungkannya menjadi projek yang sangat boleh diyakini.
"Kebanyakan projek, walaupun mendapat sumber dan idea yang baik, tidak dapat dilaksanakan kerana tidak berdaya maju untuk memenuhi kriteria kewangan pembiaya," katanya kepada Bernama semasa Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa ke-7 (ISES) 2026 ,di sini, hari ini.
Bagi menangani cabaran ini, Saiful Hakim berkata SEDA sedang mengenal pasti sumber tenaga bersih yang berpotensi di seluruh Malaysia, termasuk hidro kecil, biotenaga, geoterma, angin, biojisim lautan dan tenaga pasang surut.
Beliau berkata SEDA juga sedang mengkaji mekanisme yang betul untuk sumber boleh baharu yang berbeza, dengan mengambil kira kos dan risiko yang berbeza-beza, bagi membantu industri meneroka sumber baharu dan menjadikan projek lebih berdaya maju.
Dengan sokongan khusus, katanya, SEDA menyasar untuk meningkatkan kebolehlaksanaan projek dan membolehkan institusi kewangan mengurus risiko tanpa mengetepikan sektor TBB.
Sementara itu, mengenai penggunaan tenaga lestari oleh pusat data, beliau berkata tenaga geoterma berpotensi menyokong kemudahan intensif tenaga, walaupun sumbernya mahal untuk dibangunkan.
"Pusat data perlu faham bahawa mereka tidak boleh hanya mencari kadar yang murah, tetapi untuk mendapatkan tenaga hijau, mereka perlu membayar harga premium.
"Oleh kerana pusat data menggunakan lebih banyak sumber, mereka juga perlu menyumbang kepada industri, dan mereka mungkin penerima yang tepat untuk sumber seperti itu," katanya.
Mengenai ISES 2026, Saiful Hakim berkata persidangan dua hari itu merupakan platform strategik untuk kerajaan berkongsi maklumat langsung, perkembangan terkini dan hala tuju dasar secara langsung dengan pemain industri, ahli akademik, penyelidik dan pelabur.
Beliau berkata platform itu juga membantu menyelaras inisiatif, persefahaman, kerjasama pihak berkepentingan sejajar dengan pelan hala tuju peralihan tenaga kerajaan.
Persidangan tahun ini yang bertemakan "Envisioning Sustainable Energy Beyond Borders", membawa tumpuan utama ASEAN kepada peluang rentas sempadan.
Disokong oleh Pusat Tenaga ASEAN, persidangan itu menampilkan sekurang-kurangnya 30 peratus penceramah asing untuk meneroka kerjasama serantau, pelaburan rentas sempadan dan penyelesaian bersama.
"Ini akan membuka hala tuju pemahaman baharu tentang potensi dan peluang yang boleh kita terokai merentasi sempadan kita di ASEAN," katanya.
Ditubuhkan pada September 2011, SEDA merupakan badan berkanun di bawah naungan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yang bertujuan untuk memacu agenda TBB dan kecekapan tenaga di negara ini.
-- BERNAMA