BERITA TERKINI   Program Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 berjaya menarik sumbangan penajaan RM48.63 juta daripada 139 rakan strategik - Fahmi | Pelan tambah baik kawalan keselamatan lapangan terbang dibentang kepada Jemaah Menteri minggu depan - Saifuddin | DUN Kelantan sebulat suara luluskan Rang Undang-undang Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 | Unit Kerjaya Prospek peroleh kontrak pembinaan pembangunan bercampur di Johor Bahru bernilai RM223.0 juta | Sektor perkhidmatan Malaysia berkembang sebanyak 11.2 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2026 dan hasil mencapai RM714.7 bilion - DOSM | 

Jualan Perdagangan Borong, Runcit Capai RM168.50 Bilion Pada Jun 2026 - DOSM

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Perdagangan borong dan runcit Malaysia meningkat 10.1 peratus tahun ke tahun pada Jun 2026 dengan nilai jualan mencecah RM168.5 bilion, disokong pertumbuhan positif dalam ketiga-tiga subsektor, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Seiring dengan peningkatan nilai jualan, indeks volum turut meningkat 5.1 peratus tahun ke tahun.

Dalam satu kenyataan hari ini, DOSM berkata perdagangan borong mencatat nilai jualan sebanyak RM76.8 bilion, meningkat RM8.5 bilion atau 12.4 peratus tahun ke tahun.

Ad Banner

“Perdagangan runcit mencatatkan jualan sebanyak RM72.0 bilion, meningkat RM4.5 bilion atau 6.6 peratus, manakala subsektor kenderaan bermotor berkembang RM2.6 bilion atau 14.9 peratus kepada RM19.7 bilion.

Secara keseluruhannya, peningkatan jualan ketiga-tiga subsektor berjumlah RM15.5 bilion, yang menyumbang kepada peningkatan keseluruhan jualan perdagangan borong dan runcit pada bulan tersebut," kata DOSM dalam satu kenyataan.

Menurut DOSM, perdagangan borong merupakan penyumbang terbesar kepada peningkatan tersebut, diikuti perdagangan runcit dan kenderaan bermotor.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Perdagangan borong terus menjadi penyumbang utama kepada keseluruhan nilai jualan, dengan pertumbuhan itu terutama didorong oleh kumpulan lain-lain pengkhususan jualan borong yang meningkat 25.3 peratus kepada RM31.0 bilion.

"Prestasi kumpulan ini disokong oleh peningkatan jualan petrol, diesel, pelincir dan gas petroleum cecair (LPG), yang sebahagiannya turut dipengaruhi oleh pergerakan harga pasaran, khususnya bagi produk berkaitan petroleum," katanya.

Jualan borong barangan isi rumah berkembang 6.5 peratus kepada RM15.3 bilion, disokong oleh permintaan yang berterusan terhadap barangan farmaseutikal dan perubatan, barang kemas dan pakaian.

Sementara itu, jualan borong makanan, minuman dan tembakau meningkat 4.5 peratus, didorong oleh peningkatan jualan beras, bijirin lain, tepung dan gula, produk tenusu dan ikan dan lain-lain makanan laut.

Selain itu, jualan borong jentera, kelengkapan dan bekalan meningkat 6.4 peratus kepada RM5.7 bilion, terutamanya disokong oleh peningkatan jualan kelengkapan telefon dan telekomunikasi.

DOSM berkata subsektor perdagangan runcit mengekalkan momentum positif pada Jun 2026 dengan nilai jualan meningkat 6.6 peratus kepada RM72.0 bilion, diterajui jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 7.0 peratus kepada RM28.0 bilion, disokong jualan berterusan di pasar raya dan gedung serbaneka.

Jualan runcit barangan lain di kedai pengkhususan turut meningkat 7.0 peratus kepada RM15.3 bilion, didorong terutamanya oleh permintaan yang lebih tinggi terhadap barangan farmaseutikal dan perubatan serta barang kemas.

Selain itu, jualan runcit bahan api kenderaan di kedai pengkhususan mencatat pertumbuhan 10.8 peratus, manakala jualan runcit makanan, minuman dan tembakau di kedai pengkhususan meningkat 6.6 peratus, disokong peningkatan jualan produk bakeri dan konfeksi gula, ikan dan makanan laut lain serta produk tenusu dan telur.

Prestasi perdagangan runcit turut disokong oleh peningkatan aktiviti pengguna semasa musim perayaan dan tempoh cuti sekolah yang berlanjutan sehingga minggu pertama Jun, yang menyumbang kepada peningkatan pergerakan, perbelanjaan isi rumah dan aktiviti penggunaan dalam segmen runcit, kata DOSM.

Bagi subsektor kenderaan bermotor, nilai jualannya mencatat pertumbuhan tertinggi antara ketiga-tiga subsektor, meningkat 14.9 peratus kepada RM19.7 bilion pada Jun 2026, terutama didorong jualan kenderaan bermotor yang melonjak 22.3 peratus kepada RM9.8 bilion.

Sementara itu, aktiviti jualan runcit dalam talian terus berkembang pada Jun 2026 apabila indeks jualan runcit dalam talian meningkat 9.0 peratus tahun ke tahun, lebih tinggi berbanding 8.6 peratus pada Mei 2026.

"Pertumbuhan berterusan dalam jualan runcit dalam talian mencerminkan permintaan pengguna yang kekal kukuh menerusi platform e-dagang, sekali gus memperkukuh peranan saluran digital di samping premis runcit fizikal dalam menyokong perkembangan aktiviti perdagangan runcit," kata jabatan itu.

-- BERNAMA