BERITA TERKINI   Tiada kehilangan jiwa melibatkan warganegara Malaysia dalam kejadian letupan peranti letupan buatan sendiri di Wilayah Narathiwat - Wisma Putra | BN tidak akan mencampuri urusan institusi Raja, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan - Ahmad Zahid | Permintaan jalan penghubung luar bandar di Sabah, Sarawak akan dipertimbangkan dalam Bajet 2027 - Ahmad Zahid | Keutamaan BN ialah penyatuan kepimpinan dan ahli hadapi PRN Negeri Sembilan - Ahmad Zahid | 25,000 individu bakal terima manfaat menerusi Inisiatif Bakat MADANI - PM Anwar | 

Bursa Malaysia Akhiri Sesi Dagangan Pagi Lebih Rendah

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih rendah berikutan aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi terpilih, terutamanya kaunter penjagaan kesihatan, kewangan dan ladang yang menjejaskan sentimen pasaran.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.74 mata kepada 1,663.00 daripada 1,667.74 pada penutupan Jumaat.

Indeks utama yang dibuka tinggi 1.04 mata pada paras 1,668.78, paras tertinggi harian, sebelum turun kepada 1,655.28 pada sesi dagangan itu.

Ad Banner

Pergerakan harga di pasaran secara menyeluruh menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 490 berbalas 349, manakala 495 kaunter tidak berubah, 1,409 tidak diniagakan dan 133 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 1.37 bilion unit bernilai RM847.67 juta.

Menurut Hong Leong Investment Bank Bhd dalam satu nota penyelidikan hari ini, FBM KLCI dijangka kekal tidak menentu dan dipacu oleh tajuk berita utama dalam jangka masa terdekat, dengan sentimen dibentuk oleh perkembangan Asia Barat dan pilihan raya negeri yang akan datang.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Kekurangan pemangkin baharu dan aliran keluar dana asing yang berterusan diunjurkan akan mengekalkan sentimen yang rendah, manakala premium risiko politik kekal tinggi menjelang pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan (masing-masing berlangsung pada 11 Julai dan 1 Ogos) dalam persekitaran spekulasi mengenai pilihan raya umum ke-16 yang awal walaupun mandat Parlimen sehingga Februari, 2028, menurut kenyataan itu.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik dua sen kepada RM10.82, manakala Public Bank susut lima sen kepada RM4.78, Tenaga Nasional merosot empat sen kepada RM14.30, CIMB menguncup satu sen kepada RM7.40, dan IHH Healthcare berkurangan 18 sen kepada RM8.36.

Bagi saham aktif, Zetrix AI turun dua sen kepada 75 sen, Silver Ridge susut 4.5 sen kepada 14 sen, RT Pastry merosot satu sen kepada 17 sen, dan Dagang Nexchange berkurangan setengah sen kepada 41.5 sen, manakala Astro meningkat satu sen kepada tujuh sen.

Antara kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries naik RM1.14 kepada RM48.14, Fraser & Neave meningkat 38 sen kepada RM28.08, Vitrox menambah 30 sen kepada RM7.54, Petronas Dagangan menokok 20 sen kepada RM18.80, dan Apollo Food melonjak 16 sen kepada RM5.86.

Bagi kaunter paling rugi, Nestle susut RM2.34 kepada RM93.50, KL Kepong merosot 38 sen kepada RM20.92, Hong Leong Financial turun 14 sen kepada RM18.36, Hong Leong Bank menguncup 18 sen kepada RM21.50, dan Petronas Gas berkurangan 12 sen kepada RM17.42.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 20.03 mata kepada 12,344.98, Indeks FBM Top 100 merosot 21.63 mata kepada 12,179.96, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 13.56 mata kepada 12,227.74, bagaimanapun Indeks FBM Mid 70 meningkat 23.93 mata kepada 17,750.12 dan Indeks FBM ACE bertambah 5.67 mata kepada 4,750.97.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 48.35 mata kepada 19,614.77, Indeks Tenaga turun 0.07 mata kepada 745.83, Indeks Perladangan merosot 54.98 mata kepada 8,828.00 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok satu mata kepada 180.59.

-- BERNAMA