CelcomDigi Kesan 260 Juta Panggilan Penipuan, Perkukuh Hala Tuju ESG
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
PETALING JAYA, 5 Nov (Bernama) – Apabila penipuan digital semakin mengancam pengguna dalam talian, CelcomDigi Bhd mengambil inisiatif dengan mengesan 260 juta panggilan yang disyaki penipuan selain menyekat 22 juta khidmat pesanan ringkas (SMS) setiap bulan bagi memperkukuh perlindungan pelanggan.
Usaha itu merupakan sebahagian daripada hala tuju alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) syarikat telekomunikasi berkenaan bagi tempoh lima tahun.
Malah, ia memberi manfaat kepada lebih 20 juta pelanggan setiap tahun menerusi inisiatif yang memberi tumpuan kepada keselamatan digital, pendidikan awam dan pembentukan masyarakat digital yang lebih terangkum.
Sementara itu, Ketua Kelestarian CelcomDigi Philip Ling berkata hala tuju yang dilancarkan pada 2024 itu turut mencatat kemajuan dalam memperkukuh amalan perniagaan yang bertanggungjawab termasuk pembangunan pembekal, tadbir urus kecerdasan buatan (AI) dan kelestarian alam sekitar.
Bercakap kepada Bernama di luar forum Responsible Business Day 2026 anjuran syarikat itu di sini hari ini, beliau memaklumkan CelcomDigi telah mencapai sasaran tahunannya untuk menyediakan latihan selama 20,000 jam kepada sehingga 600 pembekal di sepanjang rantaian bekalannya.
Mengenai kesedaran awam, Ling memberitahu inisiatif Online Safety IRL 2.0 syarikat itu telah mencatatkan 22.3 juta tontonan dan capaian terkumpul sebanyak 18.3 juta sekali gus melengkapi usaha syarikat melindungi pelanggan daripada ancaman digital.
Beliau berkata syarikat itu turut memperkukuh amalan tadbir urusnya menerusi pengenalan rangka kerja tadbir urus AI pada tahun ini seiring dengan kepentingan yang semakin meningkat terhadap penggunaan teknologi secara bertanggungjawab dalam era digital.
“Tumpuan lain ialah perubahan iklim dan alam sekitar. Tahun lepas, kami berjaya mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 3.5 peratus,” katanya.
Menurut Ling, intensiti karbon syarikat itu yang diukur berdasarkan penggunaan data bagi setiap terabait turut mencatatkan penurunan sebanyak 30 peratus dalam tempoh dua tahun lepas.
Beliau berkata, CelcomDigi akan terus berusaha mencapai sasaran iklimnya bagi 2035 yang selaras dengan sasaran berasaskan sains selain merealisasikan aspirasi jangka panjangnya untuk mencapai pelepasan sifar karbon.
Jelasnya, syarikat itu memantau kemajuan kelestariannya setiap tahun dan mendapatkan pengesahan pihak luar bagi memastikan ketepatan serta kebolehpercayaan data kelestariannya.
Bertemakan “Tanggungjawab dalam Era AI”, forum itu menandakan tahun kedua pelaksanaan strategi ESG lima tahun CelcomDigi yang bertujuan memperkukuh usaha kelestarian, menggalakkan amalan perniagaan yang bertanggungjawab dan membina kepercayaan dalam masyarakat yang semakin saling berhubung.
-- BERNAMA