BERITA TERKINI   Kerajaan perlu cari RM40 bilion setahun tanggung subsidi minyak - PM Anwar | PRN Melaka: Beri PH peluang, pentadbiran negeri perlu selari dengan persekutuan - PM Anwar | Kemenangan calon Muslim di Senat AS bukti demokrasi tanpa perkauman - PM Anwar | Konflik di Gaza menjadi antara isu utama yang akan disuarakan Malaysia pada TRT World Forum 2026 esok - Ahmad Zahid | Tindakan Presiden PAS label CSA sebagai ‘pendekatan dajal’ tidak kena, jangan main soal agama - PM Anwar | 

Ancaman Siber Yang Berkembang Ancam Daya Tahan Kewangan, Perlu Bakat Tempatan

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Ancaman siber yang semakin berkembang, khususnya yang melibatkan kecerdasan buatan (AI), teknologi awan dan ekosistem digital yang saling berkaitan, menonjolkan keperluan untuk membangunkan lebih ramai profesional tempatan yang mempunyai kepakaran dalam kewangan serta keselamatan siber.

Insiden siber terkini di Perancis, United Kingdom dan tempat-tempat lain di Eropah juga telah mencetuskan kebimbangan di kalangan rakyat Malaysia terhadap keselamatan perkhidmatan yang semakin digital serta infrastruktur kritikal.

Ad Banner
Ad Banner

Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan Malaysia telah menaikkan Tahap Ancaman Keselamatan Siber Kebangsaan daripada Rendah kepada Sederhana, menurut Majlis Keselamatan Negara di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perakaunan dan Kewangan Universiti Teknologi & Inovasi Asia Pasifik (APU) Malaysia, Dr Nur Badriyah Mokhtar berkata usaha membangunkan bakat tempatan dengan kepakaran dalam kedua-dua kewangan dan keselamatan siber adalah kritikal bagi mengukuhkan daya tahan ekosistem teknologi kewangan Malaysia (FinTech).

Walaupun kepakaran asing boleh membantu mempercepatkan pembangunan, daya tahan jangka panjang negara bergantung kepada kepakaran tempatan yang sudah tentu memahami landskap pengawalseliaan, ekonomi dan teknologi Malaysia.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Malaysia telah mencapai kemajuan yang baik melalui peraturan, rangka kerja keselamatan siber dan pelaburan industri yang lebih kukuh tetapi cabaran terbesar bukan setakat teknologi, ianya adalah bakat.

"Kita perlukan lebih ramai profesional yang memahami kewangan dan keselamatan siber. Melangkah ke hadapan, kerjasama yang lebih baik antara pengawal selia, industri termasuk universiti akan menjadi penting untuk membina ekosistem FinTech yang berdaya tahan serta selamat," katanya kepada Bernama.

 

ANCAMAN SIBER YANG BERUBAH-UBAH UJI KETAHANAN KEWANGAN

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Parlimen pada Selasa bahawa Ketua Setiausaha Negara akan mengadakan mesyuarat dengan jabatan kerajaan yang berkaitan, manakala Gabenor Bank Negara Malaysia akan mengadakan sesi berasingan dengan institusi kewangan tempatan bagi menilai potensi risiko selain mengukuhkan kesiapsiagaan.

Katanya, Malaysia boleh menjadi antara sasaran yang berpotensi berikutan keupayaan digital dan pusat datanya yang semakin menonjol, manakala perkembangan di luar negara telah memberi contoh bagaimana ancaman siber mampu menjejaskan keselamatan dalam negara, kepentingan strategik dan kestabilan ekonomi.

Nur Badriyah berkata transformasi digital dalam sektor kewangan adalah satu keperluan strategik, dengan FinTech dilihat sedang membentuk semula perkhidmatan kewangan melalui pembayaran digital, perbankan digital dan aplikasi AI, analisis data serta teknologi blok rantai.

Memetik Laporan FinTech Malaysia 2026, beliau berkata ekosistem FinTech negara telah berkembang pesat, dengan 379 syarikat beroperasi dalam 14 kategori. Pembayaran digital mewakili segmen terbesar, dengan 85 syarikat, diikuti e-dompet dengan 43.

Pada 2025, Malaysia merekodkan 18.4 bilion transaksi pembayaran elektronik, manakala 29 hubungan pembayaran rentas sempadan telah diwujudkan untuk memudahkan transaksi digital antara negara. Kesemua lima bank digital berlesen juga telah memulakan operasi penuh, masing-masing merekodkan deposit melebihi RM1.6 bilion.

Menurut kaji selidik ke atas 1,029 rakyat Malaysia berumur 18 hingga 74 tahun, yang dijalankan pada April 2026, penggunaan e-dompet berkembang paling cepat dalam kalangan mereka yang berumur 35 hingga 44 tahun, menokok sembilan mata peratusan kepada 64 peratus tahun lepas, manakala penggunaan di kalangan mereka yang berumur 45 tahun ke atas naik kepada 44 peratus.

Penggunaan meluas merentas kumpulan umur menyerlahkan lagi pertumbuhan ekosistem FinTech Malaysia, seterusnya mencerminkan pengembangan keperluan untuk melindungi perkhidmatan kewangan digitalnya.

 

 

KEPAKARAN TEMPATAN ADALAH KUNCI KEPADA KESELAMATAN SIBER KEWANGAN 

Nur Badriyah berkata Malaysia telah mencapai kemajuan yang memberangsangkan dalam mengukuhkan keselamatan infrastruktur kewangannya, tetapi ancaman siber berkembang seiring dengan kemajuan teknologi.

Memandangkan perkhidmatan kewangan yang bergerak dalam talian sudah semakin bertambah dan amat bergantung kepada AI, pengkomputeran awan dan data, potensi kesan serangan siber yang berjaya juga telah melonjak.

Beliau berkata institusi kewangan secara amnya lebih sedar mengenai risiko siber dan telah melabur dengan ketara dalam langkah keselamatan siber tetapi kesiapsiagaan ini memerlukan usaha berterusan.

"Ketahanan siber bergantung bukan sahaja pada teknologi tetapi juga pada modal insan yang betul, tadbir urus dan keupayaan bertindak balas apabila sesuatu insiden berlaku," kata Nur Badriyah.

Malaysia tidak boleh bergantung semata-mata kepada kepakaran luar untuk melindungi infrastruktur kewangannya yang kritikal, walaupun ia memiliki nilai tertinggi dalam amalan terbaik global termasuk kelebihan kerjasama dengan penyedia teknologi antarabangsa.

"Kita memerlukan pakar keselamatan siber, AI dan FinTech tempatan yang memahami persekitaran operasi tempatan kita, keperluan kawal selia serta risiko yang muncul," katanya.

 

HUBUNGAN INDUSTRI - AKADEMIA PENTING DALAM PEMBANGUNAN BAKAT

Permintaan untuk bakat dalam FinTech, AI, pembelajaran mesin, analisis data dan keselamatan siber terus menokok seiring dengan pertumbuhan ekonomi digital. FinTech tidak lagi terhad kepada pemula niaga atau syarikat teknologi memandangkan institusi kewangan tradisional seperti bank, syarikat insurans, pengurus dana dan institusi pasaran modal, juga sedang mengalami transformasi digital yang pesat.

Peralihan ini bermakna sektor kewangan semakin memerlukan profesional yang boleh menggabungkan pengetahuan kewangan dan perbankan dengan kepakaran teknologi, terutamanya dalam analisis data, sistem digital, automasi serta keselamatan siber.

Nur Badriyah berkata institusi pengajian tinggi perlu mengimbangi pengajaran berasaskan teori dengan pengalaman pembelajaran praktikal yang dipacu industri untuk menyediakan graduan dalam menghadapi perubahan keperluan industri.

"Modul dalam kewangan, perbankan dan perakaunan juga harus diperkaya dengan elemen blok rantai, Agentic AI, analisis data, automasi pintar dan pembangunan produk digital bagi memastikan kurikulum kekal relevan dengan keperluan industri," katanya.

Institusi pendidikan tinggi di negara yang mempunyai ekosistem FinTech yang matang, seperti United Kingdom, Singapura dan Australia, telah menyepadukan disiplin teknikal, pembangunan sistem serta sains data ke dalam program berkaitan kewangan.

Malaysia perlu mempercepatkan usaha yang serupa dengan mengembangkan program dan pengkhususan dalam FinTech, AI, analisis data serta teknologi digital, sambil melengkapkan pengajaran konvensional dengan simulasi industri, kajian kes dunia sebenar, pembelajaran berasaskan projek dan pembangunan aplikasi.

Pendekatan sedemikian, di samping kerjasama industri yang lebih erat, boleh mengukuhkan pemikiran kritis pelajar dan keupayaan menyelesaikan masalah sambil meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Beliau berkata, membangunkan saluran kolam bakat tempatan yang mampu menjangka ancaman, membangunkan penyelesaian dan mengukuhkan daya tahan digital harus menerima keutamaan yang sama seperti pelaburan dalam infrastruktur serta teknologi digital.

Keupayaan negara untuk melahirkan graduan yang mahir dalam bidang kewangan, data dan teknologi akhirnya akan menentukan sama ada Malaysia kekal sebagai pengguna teknologi atau muncul sebagai pencipta dan pengeksport inovasi kewangan, kata Nur Badriyah.

-- BERNAMA