Pasaran Getah Kuala Lumpur Ditutup Bercampur-campur
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Dagangan di pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur hari ini di tengah-tengah kenaikan di pasaran niaga hadapan getah serantau apabila kebimbangan terhadap kemungkinan gangguan bekalan di negara pengeluar utama ketika musim hujan sekarang telah memberi sokongan kepada harga, kata seorang peniaga.
Beliau berkata sentimen pasaran global turut dipengaruhi oleh kejayaan parti Demokrat dalam pilihan raya pertengahan penggal di Amerika Syarikat (AS), sekali gus meningkatkan harapan dalam meredakan ketegangan di Asia Barat dan mengurangkan tekanan inflasi.
“Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh kedudukan ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama.
Peniaga itu berkata, kontrak niaga hadapan getah Jepun diniagakan dalam julat yang terhad pada Khamis, ketika pedagang mempertimbangkan kejatuhan mendadak harga minyak berbanding bekalan yang terhad.
“Sementara itu, agensi meteorologi Thailand mengeluarkan amaran mengenai hujan lebat dan banjir kilat di bahagian selatan bermula 6 hingga 9 November, yang berpotensi menjejaskan aktiviti menoreh getah di kawasan pengeluaran utama,” katanya.
Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat 2.5 sen kepada 973.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut 5 sen kepada 773.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA