NCER Realisasi Pelaburan RM4.6 Bilion Di Perak, Hasil Lebih 3,000 Peluang Pekerjaan
IPOH, 5 Nov (Bernama) -- Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) merekodkan pelaburan direalisasikan berjumlah RM4.6 bilion di Perak bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, sekali gus mewujudkan 3,867 peluang pekerjaan baharu.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata pencapaian itu membuktikan keyakinan berterusan pelabur terhadap potensi ekonomi negeri serta keberkesanan kerjasama antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“Pencapaian ini juga mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap Perak serta keberkesanan usaha kolektif semua pihak dalam memacu pembangunan ekonomi yang mampu menjana peluang pekerjaan berkualiti dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata pertumbuhan pelaburan itu didorong sektor pembuatan, automotif, ekonomi digital, pemprosesan makanan dan pelancongan yang terus menjadi antara pemacu utama pembangunan ekonomi negeri.
Menurutnya, pencapaian berkenaan selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Pelan Perak Sejahtera 2030 dan agenda Ekonomi MADANI yang memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi bernilai tinggi, transformasi perindustrian dan pewujudan pekerjaan berkualiti.
“Melalui Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030, Perak disasarkan mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM119.6 bilion dan pelaburan direalisasikan kumulatif RM58.8 bilion menjelang 2030.
“Pelan itu turut menyasarkan pewujudan lebih 46,000 peluang pekerjaan secara kumulatif dan peningkatan pendapatan isi rumah penengah kepada RM6,700,” katanya.
Beliau menambah, antara projek strategik yang sedang dipacu di Perak adalah pengukuhan Automotive High-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim bagi memperkukuh ekosistem automotif negara serta merancakkan aktiviti industri bernilai tambah tinggi.
NCIA turut memudah cara pembangunan QL InnoFood Park di Hutan Melintang bagi merancakkan industri pemprosesan makanan dan memperkukuh sekuriti makanan negara, selain pembangunan Bagan Datuk International Fishery Industrial Park (BDIFIP) yang bertujuan memajukan sektor perikanan moden menerusi aktiviti hiliran bernilai tinggi.
Usaha mempercepat pembangunan ekonomi digital negeri turut diperkukuh menerusi pembangunan infrastruktur digital strategik yang berpotensi menarik pelaburan teknologi serta meningkatkan daya saing Perak dalam ekonomi digital.
Dalam sektor pelancongan, projek strategik yang dirancang termasuk Transformasi Pangkor Utara, Projek Pemangkin Sempadan Royal Belum dan pembangunan infrastruktur pelancongan di Warisan Arkeologi Lembah Lenggong.
-- BERNAMA