BERITA TERKINI   Kerajaan perlu cari RM40 bilion setahun tanggung subsidi minyak - PM Anwar | PRN Melaka: Beri PH peluang, pentadbiran negeri perlu selari dengan persekutuan - PM Anwar | Kemenangan calon Muslim di Senat AS bukti demokrasi tanpa perkauman - PM Anwar | Konflik di Gaza menjadi antara isu utama yang akan disuarakan Malaysia pada TRT World Forum 2026 esok - Ahmad Zahid | Tindakan Presiden PAS label CSA sebagai ‘pendekatan dajal’ tidak kena, jangan main soal agama - PM Anwar | 

Westports Pertingkat Kapasiti Kendali Kontena Kepada 28 Juta TEU - Loke

KLANG, 5 Nov (Bernama) -- Kapasiti pengendalian kontena tahunan Westports Malaysia Sdn Bhd dijangka meningkat dua kali ganda, daripada 14 juta kepada 28 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU), menerusi pelan pengembangan yang sedang dilaksanakan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata Pelabuhan Klang akan terus kekal sebagai pintu masuk maritim paling penting di Malaysia serta hab pemindahan kargo (transhipment) utama di Asia Tenggara.

Loke berkata kerajaan juga telah meluluskan pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, ia merupakan sebahagian daripada pelan pengembangan jangka panjang Pelabuhan Klang.

Ad Banner
Ad Banner

“Kita akan terus mengembangkan (menambah baik) pelabuhan-pelabuhan kami bagi menampung kapasiti dan jumlah kontena yang lebih besar. Kami berharap syarikat-syarikat seperti Daiso akan terus menjadikan Malaysia sebagai hab global mereka.

“Dalam pada itu, kita mengalu-alukan lebih banyak syarikat untuk berpindah ke Malaysia dan menubuhkan pusat pengedaran global mereka di sini, memandangkan industri ini amat penting,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pusat Pengedaran Global (GDC) baharu Daiso, di sini hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Loke berkata Pelabuhan Klang telah muncul sebagai salah satu daripada 10 pelabuhan paling sibuk di dunia dan terus menambah baik kecekapan operasi serta penyampaian perkhidmatannya khususnya berkaitan prosedur pelepasan kapal.

Keputusan Daiso untuk menubuhkan pusat pengedaran global terbesar dalam sejarah syarikat itu di Pulau Indah mencerminkan keyakinan terhadap infrastruktur logistik Malaysia serta kedudukannya sebagai hab rantaian bekalan serantau, katanya.

Kemudahan tersebut dijangka mengendalikan lebih daripada 4,600 kontena keluar setiap tahun, bagi menyokong rantaian bekalan di 27 buah negara dan wilayah yang merangkumi Asia, Asia Barat, Australia, serta benua Amerika.

“Skala ini (jumlah kendalian kargo), mempamerkan nilai strategik yang amat besar bagi infrastruktur pengangkutan maritim dan darat kita.

“Memandangkan lokasinya terletak bersebelahan dengan Pelabuhan Klang, salah satu pelabuhan pemindahan kontena utama dunia, kemudahan ini merupakan manifestasi pelaksanaan Dasar Pengangkutan Negara, menghubungkan pengangkutan laut, jalan raya, dan sistem pergudangan automatik menjadi satu rangkaian logistik yang lancar,” katanya.

Loke berkata Kementerian Pengangkutan sedang mempergiat usaha di bawah inisiatif Malaysia Maritime Single Window (MMSW) bagi meningkatkan lagi kecekapan pelabuhan melalui pendigitalan.

“Semua urusan pelepasan pelabuhan kini dilaksanakan secara digital. Kita sedang melangkah ke fasa kedua, lebih banyak urusan pelepasan melibatkan pelbagai agensi boleh diselesaikan secara dalam talian, berbanding menggunakan dokumen fizikal seperti amalan pada masa lepas,” katanya.

Beliau turut menyuarakan harapan supaya Kementerian Kewangan mempertimbangkan pemberian insentif tambahan bagi menarik lebih banyak jenama global untuk menubuhkan pusat pengedaran global mereka di Malaysia.

-- BERNAMA