BERITA TERKINI   Kerajaan perlu cari RM40 bilion setahun tanggung subsidi minyak - PM Anwar | PRN Melaka: Beri PH peluang, pentadbiran negeri perlu selari dengan persekutuan - PM Anwar | Kemenangan calon Muslim di Senat AS bukti demokrasi tanpa perkauman - PM Anwar | Konflik di Gaza menjadi antara isu utama yang akan disuarakan Malaysia pada TRT World Forum 2026 esok - Ahmad Zahid | Tindakan Presiden PAS label CSA sebagai ‘pendekatan dajal’ tidak kena, jangan main soal agama - PM Anwar | 

Pelaburan Google Sebanyak US$15 Bilion Iktiraf Hasrat Malaysia Sebagai Negara AI 2030 - Gobind

PUTRAJAYA, 5 Nov (Bernama) -- Google yang menambah pelaburan sebanyak US$15 bilion (US$1 = RM4.06) di Malaysia mencerminkan keyakinan kukuh terhadap keupayaan negara merealisasikan hasrat sebagai negara berteraskan kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata pelaburan itu bukan sahaja menyokong pembangunan infrastruktur pengkomputeran AI, tetapi turut memberi nilai ekonomi, memacu pembangunan industri tempatan, mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan meningkatkan keupayaan teknologi rakyat Malaysia.

“Keutamaan kerajaan bukan sekadar meraikan kemasukan pelaburan asing, tetapi memastikan setiap ringgit dapat diterjemahkan kepada mobiliti ekonomi yang nyata, keterjaminan sumber serta keupayaan teknologi tempatan demi rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Gobind berkata pelaburan itu juga selaras dengan strategi kerajaan dalam empat bidang utama, iaitu memperkukuh jaminan bekalan tenaga dan air, membangunkan industri tempatan dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, membangunkan bakat dan keupayaan rakyat Malaysia, serta mempercepat inovasi AI tempatan.

Beliau berkata Google turut merancang untuk menyalurkan lebih daripada satu gigawatt kapasiti tenaga bersih baharu ke grid nasional Malaysia, selain menanggung kos penggunaan elektrik dan sambungan terus ke grid.

Pelaburan Google dalam kolam takungan simpanan air dan loji rawatan air di Negeri Sembilan, bersama-sama inisiatif pemulihan sungai dan penambahan sumber air, turut menyokong daya tahan bekalan air serta kelestarian alam sekitar, kata beliau.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Pelaburan ini turut membuka peluang kepada industri tenaga boleh baharu, kejuruteraan dan teknologi air Malaysia,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google Ruth Porat dilaporkan berkata pelaburan itu yang meliputi tempoh 2027 dan 2028, akan memperluas infrastruktur digital syarikat menerusi pembinaan kampus pusat data baharu di Selangor dan Negeri Sembilan.

Gobind menambah, Google kini bekerjasama dengan lebih 80 pembekal tempatan dalam sektor pembinaan, kejuruteraan, prasarana rangkaian, sistem kuasa dan pendinginan, serta perkhidmatan sokongan.

Kampus baharunya diunjurkan mampu menyokong lebih 37,000 peluang pekerjaan tempatan setahun sepanjang tempoh pembinaan, sekali gus menyumbang purata AS$1.1 bilion setahun kepada KDNK Malaysia bagi tempoh 2027–2028, katanya.

 Beliau berkata apabila beroperasi kelak, kemudahan itu dijangka terus mengekalkan lebih 9,000 pekerjaan tempatan setiap tahun, dengan kadar purata gaji 45 peratus lebih tinggi daripada median kebangsaan. 

Selain itu, Gobind berkata bagi meningkatkan kemahiran kira-kira 800,000 rakyat Malaysia dalam tempoh 2027 hingga 2031, Google memperkenalkan empat program baharu yang melibatkan golongan pendidik dan belia, usahawan mikro, penjawat awam serta pencari kerja dalam bidang vokasional.

 Inisiatif ini, termasuk cadangan penubuhan Institut Pusat Data, bertujuan memperkasa tenaga kerja teknikal tempatan dan membantu rakyat Malaysia menyertai ekonomi AI yang sedang pesat berkembang, katanya.

“Kementerian Digital akan bekerja rapat dengan Google dan agensi berkaitan bagi menyokong pelaksanaan institut berkenaan,” katanya sambil menambah Malaysia berhasrat memanfaatkan kapasiti pengkomputeran AI untuk membangunkan teknologi, aplikasi dan perniagaan tempatan, termasuk produk dan perkhidmatan AI ‘Buatan Malaysia’ yang berdaya saing di peringkat global.

 Sehubungan itu, beliau telah menjemput Google untuk menjalinkan kerjasama strategik yang lebih mendalam dengan Kementerian Digital, terutamanya dalam aspek Bandar AI dan Keselamatan AI.  

Menteri itu berkata terdapat peluang besar untuk memanfaatkan barisan penyelidik bertaraf dunia, kepakaran kejuruteraan serta keupayaan teknologi mendalam yang dimiliki Google bagi membangunkan Bandar AI sebagai makmal hidup bagi menangani isu kesesakan lalu lintas, banjir dan penyampaian perkhidmatan awam.

 “Kami turut mengalu-alukan kerjasama dengan pakar Google bagi memperkasakan keupayaan Institut Keselamatan AI Malaysia, terutamanya dalam penyelidikan dan penilaian keselamatan AI.

“Butiran lanjut mengenai cadangan kerjasama strategik ini akan diumumkan kelak,” katanya. 

Gobind berkata aspirasi Malaysia bukan sekadar membina ekonomi yang menggunakan AI, tetapi juga ekonomi yang menghasilkan inovasi dengan memanfaatkan AI.

“Pelaburan Google menyediakan asas penting untuk menterjemahkan hasrat ini kepada keupayaan teknologi Malaysia, industri bernilai tinggi dan peluang yang berpanjangan demi kemakmuran rakyat kita,” tambah beliau. 

-- BERNAMA

 

 

 


NHIZ NHIZ HKY MFBJ