Rosado Meterai Perjanjian Penajajaminan Bagi Cadangan IPO Di Pasaran ACE
KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Rosado Bhd (Rosado) memeterai perjanjian penajajaminan dengan Malacca Securities Sdn Bhd (Malacca Securities) dan Kenanga Investment Bank Bhd, bersempena dengan tawaran awam permulaan (IPO) dan penyenaraiannya di Pasaran ACE, Bursa Malaysia Securities Bhd.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Rosado Datuk Lim Tiew Sin berkata kumpulan itu telah membina keupayaan dan rekod prestasinya sepanjang beberapa tahun lepas dalam memberikan penyelesaian kejuruteraan bagi projek pusat data.
Beliau berkata ia disokong oleh kepakaran teknikalnya, keupayaan melaksanakan projek dan komitmen untuk memenuhi keperluan pelanggan kami.
“Semua kekuatan ini meletakkan Rosado dalam kedudukan yang baik untuk terus mengukuhkan dirinya sebagai rakan kongsi yang menjadi pilihan projek kejuruteraan dan pencawang kuasa berskala besar.
“Dengan akses kepada pasaran modal, kami menyasarkan untuk meningkatkan keupayaan kami, menyokong pengembangan perniagaan kami dan merebut peluang dalam sektor infrastruktur pusat data,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, IPO penyedia penyelesaian kejuruteraan itu yang melibatkan sehingga 994.50 juta saham biasa merangkumi tawaran penjualan sehingga 305.50 juta saham sedia ada dan terbitan awam sebanyak 689.00 juta saham baharu.
Terbitan awam tersebut melibatkan sehingga 17.67 peratus daripada saham terbitan yang diperbesarkan syarikat itu, manakala tawaran bagi penjualan pula berjumlah 7.83 peratus.
Bagi saham baharu itu, sebanyak 195 juta akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia menerusi kaedah pengundian, dan daripada jumlah itu sebanyak 97.5 juta saham dikhaskan untuk permohonan oleh pelabur awam Bumiputera.
Sebanyak 38 juta saham lagi akan diperuntukkan kepada pengarah, kakitangan dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan tersebut, manakala 274 juta saham adalah untuk penempatan persendirian dengan pelabur terpilih.
Dalam pada itu, baki 182 juta saham baharu akan ditempatkan secara persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Sebanyak 305.5 juta saham sedia ada di bawah tawaran untuk penjualan akan ditempatkan secara persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh MITI.
-- BERNAMA