BERITA TERKINI   Kerajaan perlu cari RM40 bilion setahun tanggung subsidi minyak - PM Anwar | PRN Melaka: Beri PH peluang, pentadbiran negeri perlu selari dengan persekutuan - PM Anwar | Kemenangan calon Muslim di Senat AS bukti demokrasi tanpa perkauman - PM Anwar | Konflik di Gaza menjadi antara isu utama yang akan disuarakan Malaysia pada TRT World Forum 2026 esok - Ahmad Zahid | Tindakan Presiden PAS label CSA sebagai ‘pendekatan dajal’ tidak kena, jangan main soal agama - PM Anwar | 

Kepakaran Pembinaan Tempatan Boleh Dimanfaatkan Bangun Produk AI - Jurutera Archiboost

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Lonjakan pelaburan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia telah mengukuhkan asas digital negara, dengan peluang seterusnya terletak pada usaha menyatukan firma industri serta pemaju tempatan untuk mengubah kepakaran Malaysia menjadi produk AI yang bermanfaat dan mampu bersaing di peringkat global.

Jurutera perisian tempatan, Yi Sien (Ian) Ku, melihat sektor pembinaan sebagai satu peluang bagi Malaysia untuk membangunkan produk AI, dengan memetik pengalaman beliau sendiri membangunkan perisian AI untuk industri seni bina, kejuruteraan dan pembinaan (AEC) di Silicon Valley, Amerika Syarikat (AS).

Ad Banner
Ad Banner

Ku merupakan jurutera pengasas dan individu teknikal pertama yang diambil bekerja di Archiboost AI, sebuah syarikat yang berpangkalan di San Francisco yang memperoleh pembiayaan sebanyak US$6.2 juta daripada pelabur AS.

“Saya ingin melihat lebih banyak syarikat Malaysia menggunakan AI dalam seluruh operasi mereka, di samping pemaju dari Malaysia membina produk yang membolehkan perkara itu direalisasikan,” katanya kepada Bernama.

Pada satu taklimat media baru-baru ini, ketua ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi, berkata peningkatan permintaan terhadap produk berkaitan AI telah memacu lebih 70 peratus pertumbuhan keseluruhan eksport Malaysia pada awal  2026.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sanghi berkata pertumbuhan selain daripada produk tersebut masih kekal lemah, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana Malaysia terdedah kepada penurunan permintaan AI serta setakat mana pertumbuhan dipacu AI memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

Bank Dunia turut mengenal pasti pemaju hartanah, syarikat pembinaan, dan penyedia utiliti sebagai antara pihak yang meraih manfaat ekonomi secara langsung daripada pertumbuhan dipacu  AI.

Ku berkata Malaysia memiliki asas kukuh dalam pendigitalan dan kepakaran kejuruteraan, dengan memberi contoh teknologi pengorek terowong autonomi milik Gamuda Bhd yang dibangunkan jurutera tempatan menggunakan AI untuk mengawal operasi utama mesin pengorek terowong.

Beliau melihat peluang yang lebih luas untuk AI pada peringkat awal sesuatu projek, iaitu semasa fasa reka bentuk, sebelum pembinaan bermula.

Ini termasuk membantu golongan profesional mencari maklumat projek, menyemak reka bentuk, serta mengenal pasti masalah sebelum ia menjadi sukar dan mahal untuk diselesaikan di tapak.

 

MENGENAL PASTI MASALAH SEBELUM PEMBINAAN

Penyelarasan reka bentuk merupakan antara contoh yang menunjukkan kepentingan penggunaan teknologi berkenaan. Pasukan arkitek dan jurutera lazimnya menjalankan kerja secara berasingan, sedangkan keputusan yang dibuat oleh satu disiplin boleh memberi kesan kepada disiplin yang lain.

“Sesuatu lakaran mungkin kelihatan munasabah apabila dilihat secara berasingan, tetapi sebenarnya bercanggah dengan hasil kerja pasukan lain,” katanya.

Di Archiboost AI, Ku memainkan peranan penting dalam mereka bentuk dan membangunkan sistem semakan berasaskan AI yang menghubungkan maklumat daripada lukisan, spesifikasi dan keperluan projek bagi mengenal pasti kemungkinan percanggahan reka bentuk.

Beliau berkata dalam satu projek, sistem itu dapat mengesan laluan parit kabel elektrik bawah tanah yang didapati merentasi sebahagian asas konkrit bangunan. Percanggahan itu dikenal pasti dengan membandingkan kedudukan dan kedalaman parit berkenaan dengan asas bangunan serta nota struktur yang berkaitan.

“Sekiranya percanggahan seperti ini hanya dikesan ketika kerja pembinaan berlangsung, ia boleh menyebabkan laluan parit perlu diubah, reka bentuk disemak semula atau kerja terpaksa dihentikan sementara pasukan projek mencari penyelesaian yang dipersetujui bersama.

“Mengenal pasti masalah itu pada peringkat pelan memberi peluang kepada jurutera untuk menyelesaikannya lebih awal, sebelum ia menjadi masalah di tapak pembinaan,” katanya.

Apabila kerja pembinaan telah dilaksanakan, sebarang pengubahsuaian juga mungkin memerlukan kerja yang telah siap terpaksa dirobohkan, bahan binaan diganti dan memerlukan tenaga kerja tambahan.

Ku berkata seorang pelanggan menganggarkan bahawa kos mengubahsuai semula satu isu yang dikenal pasti oleh Archiboost boleh mencecah ratusan ribu dolar AS sekiranya masalah itu hanya dikesan semasa pemeriksaan.

“Bagi projek berskala besar, kos seperti ini boleh mencecah hingga jutaan dolar,” katanya.

Beliau berkata implikasi berkenaan turut mempengaruhi keperluan golongan profesional terhadap penggunaan AI. Sebelum membuat sebarang perubahan pada reka bentuk, arkitek dan jurutera perlu memahami sebab mengapa sistem itu mengesan sesuatu isu serta meneliti bukti yang menyokong penemuannya.

Bagi membantu proses semakan itu, Ku dan pasukan Archiboost membangunkan sistem berkenaan supaya AI dapat menandakan lokasi tepat yang dikenal pasti bermasalah pada lakaran, menjelaskan hasil analisis serta mencadangkan langkah pengubahsuaian.

Sesuatu teknologi juga perlu disesuaikan dengan aliran kerja harian pasukan projek, termasuk keupayaan untuk disepadukan dengan perisian dan maklumat projek sedia ada serta menyediakan semakan yang bersesuaian mengikut peringkat pelaksanaan projek, katanya.

 

MEMBANGUNKAN PRODUK BERSAMA RAKAN INDUSTRI

Ku berkata syarikat industri tempatan boleh membantu pemaju perisian untuk memahami keperluan profesional, menghasilkan produk yang bermanfaat dan mengujinya dalam persekitaran sebenar.

“Titik permulaannya adalah mengenal pasti aspek kerja yang menyebabkan kakitangan kehilangan masa atau berdepan kesukaran membuat keputusan. Golongan profesional industri boleh menjelaskan mengenai tugas berkenaan, maklumat yang diperlukan serta kesan jika berlaku kesilapan.

“Pemaju kemudiannya boleh menilai kekerapan masalah itu berlaku sama ada penyelesaiannya boleh menyokong operasi sesebuah perniagaan,” katanya.

Membantu kakitangan mencari dan memahami maklumat projek merupakan satu lagi peluang yang boleh diteroka selain semakan reka bentuk.

Sesebuah pasukan mungkin perlu mengenal pasti spesifikasi bahan, menentukan sama ada sesuatu keperluan terpakai pada bahagian bangunan tertentu atau menyemak semula keputusan terdahulu.

Persoalan ini perlu dijawab menerusi penelitian lakaran teknikal bersama-sama spesifikasi dan kod bangunan.

AI boleh membantu menghubungkan sumber maklumat berkenaan dan menjelaskan keperluan yang berkaitan selain membawa bukti yang boleh disemak golongan profesional.

Syarikat juga boleh mengamalkan pendekatan yang lebih berpandukan kepada data dengan memanfaatkan rekod dan pengalaman daripada projek terdahulu sebagai panduan dalam membuat keputusan bagi tugasan semasa.

Katanya, arkitek, jurutera dan kontraktor Malaysia boleh menyumbang pengetahuan mengenai keperluan tempatan serta amalan kerja yang diperlukan untuk membangunkan peralatan sedemikian.

“Pasukan di Malaysia memerlukan rakan industri yang bersedia menguji idea bersama mereka dan memberi maklum balas berdasarkan pengalaman kerja sebenar,” katanya.

Pengamal industri yang berpengalaman boleh menilai hasilnya manakala pembuat keputusan boleh memperuntukkan tenaga kerja dan masa untuk melakukan percubaan.

Percubaan ini membolehkan syarikat membuat keputusan sama ada untuk menggunakan sesuatu peralatan selain membantu pemaju menentukan sama ada peralatan itu mampu meningkatkan kecekapan kerja hingga cukup berbaloi untuk dibayar oleh pelanggan.

Ku berkata, usaha menjadikan permintaan itu sebagai perniagaan yang mampan turut memerlukan pemaju memahami kos penyampaian perkhidmatan termasuk kos pengkomputeran, integrasi, penyelenggaraan dan sokongan pelanggan.

Beliau berpendapat Malaysia boleh melahirkan lebih banyak syarikat AI yang berjaya dengan membantu mereka yang berbakat mendapatkan sokongan yang diperlukan untuk memula dan mengembangkan perniagaan.

“Sebagai anak Malaysia, saya tertarik melihat bagaimana pengalaman di San Francisco apabila daripada sesi perbualan dengan mudah akan membawa kepada sesi perkenalan dengan bakal pengasas bersama, pertemuan dengan pelabur atau pelanggan yang bersedia menguji sesuatu yang baharu,” katanya.

Beliau menjelaskan Malaysia boleh membantu pasukan pemaju perisian dengan memperkenalkan kepada pengasas syarikat berpengalaman, pelabur peringkat awal dan syarikat yang bersedia menjalankan projek perintis bagi menguji produk tempatan.

 

MEMBAWA PRODUK AI MALAYSIA KE PASARAN GLOBAL 

Apabila perniagaan tersebut berkembang, Ku berkata mereka perlu memahami pelanggan dalam pasaran yang mereka ingin terokai.

“Bekerja di Archiboost di AS memberi saya pendedahan langsung tentang bagaimana sesebuah firma menilai produk baharu dan membuat keputusan membeli,” katanya.

Ku berkata bekerja dengan pelanggan merentasi pasaran membantunya membezakan masalah industri biasa daripada keperluan tempatan dan membina hubungan dengan orang yang memahami pasaran tersebut.

Bagi pemaju Malaysia, profesional yang bekerja di luar negara boleh menyediakan pengetahuan dan pengenalan pasaran manakala firma Malaysia yang mempunyai operasi antarabangsa boleh menghubungkan pasukan tempatan dengan bakal pelanggan serta rakan kongsi.

Bagi perisian pembinaan, ia perlu memahami bahagian produk mana yang boleh melaksanakan tugas yang sama merentas pasaran dan yang perlu disesuaikan dengan keperluan tempatan atau perisian yang digunakan pelanggan, katanya.

“Untuk pertumbuhan serantau, saya akan melihat kepada masalah lazim merentas pasaran dan produk yang boleh disesuaikan dengan perbezaannya,” katanya.

"Saya akan menilai kemajuan produk yang dibangunkan di sini, kemahiran yang diperoleh oleh pasukan kami dan syarikat Malaysia yang berkembang seiring dengan pusat data," katanya.

-- BERNAMA