BNM Kekalkan OPR Pada 2.75 Peratus
KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus susulan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) terakhir bagi tahun ini yang diadakan hari ini.
Bank pusat dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan global yang terus berdaya tahan, disokong oleh pelaburan teknologi global yang kukuh dan pasaran pekerja yang stabil.
“Pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan serta pertumbuhan ekonomi yang mampan,” menurutnya.
BNM memaklumkan bahawa MPC akan terus memantau perkembangan keadaan semasa dan menilai implikasinya terhadap imbangan risiko berhubung prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.
Menurutnya sejak awal tahun sehingga kini, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berpurata pada 1.8 peratus dan 1.9 peratus.
Menjelang 2027, perkembangan geopolitik, harga komoditi global yang tinggi dan keadaan cuaca buruk dijangka terus memberikan tekanan menaik terhadap inflasi.
Kesannya, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka meningkat sedikit meskipun kekal terkawal berikutan langkah-langkah dasar dalam negeri yang berterusan dan keadaan permintaan yang stabil.
“MPC akan terus memantau keadaan tekanan kos dan permintaan dalam negeri memandangkan kesan kedua-dua faktor ini terhadap prospek inflasi,” menurut BNM.
Inflasi meningkat sedikit susulan kenaikan kos tenaga dan dijangka kekal tinggi berikutan peningkatan kos yang dipindahkan secara berterusan kepada harga pengguna.
Pada masa hadapan, meskipun ketidaktentuan berhubung dengan perkembangan geopolitik akan terus mempengaruhi pertumbuhan global dalam keadaan tekanan inflasi yang berterusan, kesannya dijangka diimbangi oleh perbelanjaan berkaitan teknologi yang mampan serta pelarasan yang berterusan terhadap kekangan bekalan.
Risiko pertumbuhan global menjadi rendah terus wujud, berpunca daripada ketegangan geopolitik yang berlarutan dan keadaan kewangan global yang lebih ketat susulan pelarasan dasar monetari, kebimbangan tentang penilaian dalam pasaran kewangan serta keadaan fiskal yang mudah terjejas.
“Potensi pertumbuhan menjadi lebih tinggi pula mungkin disebabkan oleh perbelanjaan teknologi yang lebih kukuh dan pemulihan keadaan rantaian bekalan yang lebih cepat daripada jangkaan,” menurut bank pusat.
Bagi ekonomi Malaysia, penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan yang terus kukuh pada suku ketiga 2026, disokong oleh prestasi eksport yang kukuh dalam keadaan permintaan dalam negeri yang mampan.
Momentum pertumbuhan yang utuh dijangka meningkatkan pertumbuhan pada 2026 melebihi lima peratus.
Pada masa hadapan, asas-asas ekonomi yang mantap dijangka mengekalkan daya tahan pertumbuhan pada 2027.
“Sektor luaran dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan serta perbelanjaan pelancong yang teguh,” menurut BNM.
Keadaan pasaran pekerja yang stabil dan aktiviti pelaburan yang berterusan akan terus menyokong permintaan dalam negeri manakala langkah-langkah dalam Belanjawan 2027 akan memberikan sokongan tambahan kepada penggunaan swasta.
Bagaimanapun prospek pertumbuhan ini terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi rendah yang berpunca daripada konflik di Timur Tengah yang berlarutan dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah.
Menurut BNM, potensi pertumbuhan pula menjadi lebih tinggi disebabkan pertumbuhan global yang lebih baik daripada jangkaan, permintaan terhadap eksport berkaitan teknologi yang lebih kukuh serta aktiviti pelancongan yang lebih giat.
-- BERNAMA