BERITA TERKINI   Kerajaan perlu cari RM40 bilion setahun tanggung subsidi minyak - PM Anwar | PRN Melaka: Beri PH peluang, pentadbiran negeri perlu selari dengan persekutuan - PM Anwar | Kemenangan calon Muslim di Senat AS bukti demokrasi tanpa perkauman - PM Anwar | Konflik di Gaza menjadi antara isu utama yang akan disuarakan Malaysia pada TRT World Forum 2026 esok - Ahmad Zahid | Tindakan Presiden PAS label CSA sebagai ‘pendekatan dajal’ tidak kena, jangan main soal agama - PM Anwar | 

Ferrotec Group Buka Kilang Kulim Kedua, Wujud Lebih 1,000 Pekerjaan Bernilai Tinggi

ALOR SETAR, 5 Nov (Bernama) -- Kilang kedua Ferrotec Group yang baru dibuka di Kulim dijangka menjana lebih 1,000 pekerjaan baharu bernilai tinggi untuk profesional Malaysia yang mahir, termasuk jurutera, juruteknik dan pakar pengeluaran.

Pembukaan rasmi Kilang 2 pada 28 Okt lepas menandakan satu lagi peristiwa penting dalam pengembangan kumpulan itu di Asia Tenggara dan komitmen berterusannya terhadap ekosistem semikonduktor serta pembuatan termaju rakyat Malaysia, katanya.

“Malaysia kekal sebagai bahagian penting dalam strategi pertumbuhan Asia Tenggara Ferrotec, disokong oleh permintaan semikonduktor yang semakin meningkat, ekosistem semikonduktor Malaysia yang mantap dan prestasi operasi sedia ada kumpulan itu di negara ini,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Pengembangan itu menambah hampir 1 juta kaki persegi ruang pembuatan automatik yang dilengkapi dengan lebih 700 mesin kawalan berangka komputer (CNC) berketepatan tinggi, penderia Internet Pelbagai Perkara (IoT) dan kenderaan berpandu autonomi.

Majlis pembukaan kilang itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, turut hadir ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ferrotec Corporation, He Xian Han serta Pengarah Urusan Ferrotec Manufacturing Malaysia,  Anzhi He.

Fasiliti pembuatan pertama Ferrotec di Kulim, yang melibatkan pelaburan awal lebih RM900 juta, telah mula beroperasi sejak Januari 2024.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Syarikat itu kemudiannya memberikan tambahan RM1 bilion untuk pengembangannya di Kulim, menjadikan pelaburan terkumpul dalam dua kilangnya kepada kira-kira RM1.9 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata keputusan Ferrotec membuka kilang keduanya di Kulim dalam tempoh kurang tiga tahun selepas kilang pertamanya mula beroperasi mencerminkan keyakinan kumpulan itu terhadap Malaysia.

“Projek itu membawa keupayaan termaju dalam komponen kuarza, seramik dan logam ketepatan ke dalam negara dan, dengan lebih 1,000 pekerjaan tambahan bernilai tinggi, ini mewujudkan peluang berharga untuk jurutera, juruteknik serta pembekal tempatan Malaysia.

"Ini adalah selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Strategi Semikonduktor Kebangsaan yang bertujuan untuk memajukan Malaysia lebih jauh dalam rantaian nilai semikonduktor. MIDA akan terus bekerjasama rapat dengan Ferrotec sejajar dengan peningkatan kilang 2 dan mengeratkan hubungannya dengan syarikat Malaysia," katanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata cita-cita negeri ini bukan semata-mata untuk membawa lebih banyak kilang ke Kedah tetapi bagi membangunkan ekosistem perindustrian yang lebih baik.

“Harapan kami adalah untuk berkembang, perniagaan tempatan boleh membangun bersama mereka, dan warga kami boleh mendapat manfaat daripada peluang pekerjaan serta kerjaya yang lebih baik. Pengembangan berterusan Ferrotec adalah contoh terbaik jenis perkongsian jangka panjang yang kami harap dapat bina,” katanya.

He Xian Han berkata Malaysia mempunyai ekosistem semikonduktor yang matang, mantap dan dinamik, manakala asas perindustriannya yang kukuh, infrastruktur yang komprehensif serta perkhidmatan kerajaan yang cekap menyediakan keadaan yang menggalakkan bagi pelabur asing untuk menubuhkan, mengendalikan dan mengembangkan operasi pembuatan mereka.

Sementara itu, Anzhi He berkata Malaysia dan Kulim menjadi antara pilihan terbaik kumpulan itu apabila pertama kali menilai lokasi berpotensi di Asia Tenggara.

“Apabila kami mula-mula menilai lokasi di Asia Tenggara, kami melihat banyak faktor dan dengan yakin boleh mengatakan bahawa memilih Malaysia dan Kulim adalah salah satu keputusan terbaik yang kami buat,” katanya.

-- BERNAMA