BERITA TERKINI   Kerajaan perlu cari RM40 bilion setahun tanggung subsidi minyak - PM Anwar | PRN Melaka: Beri PH peluang, pentadbiran negeri perlu selari dengan persekutuan - PM Anwar | Kemenangan calon Muslim di Senat AS bukti demokrasi tanpa perkauman - PM Anwar | Konflik di Gaza menjadi antara isu utama yang akan disuarakan Malaysia pada TRT World Forum 2026 esok - Ahmad Zahid | Tindakan Presiden PAS label CSA sebagai ‘pendekatan dajal’ tidak kena, jangan main soal agama - PM Anwar | 

Malaysia Perluas Infrastruktur Pengangkutan Perkukuh Kedudukan Hab Logistik Bertaraf Dunia - Anwar

KLANG, 5 Nov (Bernama) -- Malaysia sedang giat memperluas infrastruktur pengangkutannya merentasi darat, laut, dan udara dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab logistik bertaraf dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata Malaysia mengecapi kemakmuran sepanjang sejarahnya bukan sekadar disebabkan oleh kedudukan geografi negara yang strategik, malah juga kerana keupayaannya menghubungkan ekonomi-ekonomi di seluruh dunia.

“Selat Melaka telah menjadi laluan utama aliran perdagangan selama berabad-abad. Hasrat kami adalah untuk memperluas aliran ini merentasi darat, laut, dan udara bagi menjadikan Malaysia hab logistik bertaraf dunia.

Ad Banner
Ad Banner

"Pelabuhan Klang mencatatkan rekod pengendalian 15.1 juta unit setara dua puluh kaki (TEU) pada tahun lepas, sekali gus meletakkannya dalam kalangan sepuluh pelabuhan kontena paling sibuk di dunia," kata beliau pada majlis perasmian Pusat Pengedaran Global (GDC) baharu Daiso di Pulau Indah, hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Duta Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata, serta presiden dan ketua pegawai eksekutif Daiso Industries Co Ltd, Seiji Yano.

Mengenai GDC, Anwar berkata pusat pengedaran itu mencerminkan aspirasi perdagangan Malaysia yang lebih luas, dengan barangan dari seluruh dunia tiba di Malaysia, memperoleh nilai tambah di negara ini, sebelum diedarkan ke pasaran di serata dunia.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Perdana Menteri berkata kemudahan tersebut memperlihatkan peralihan strategik negara daripada sekadar mengendalikan jumlah kargo yang lebih besar kepada menceburi aktiviti yang bernilai lebih tinggi.

Menerusi GDC, barangan akan diasingkan, disimpan, dan dibungkus semula di pusat Pulau Indah untuk diedarkan ke pelbagai pasaran antarabangsa, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran bagi rakyat Malaysia, kata beliau.

“Itulah sebabnya mengapa kami melabur dalam setiap kaedah pengangkutan. Di laut, Westports 2 akan meningkatkan kapasiti Westports kepada hampir dua kali ganda, dan kami sedang merancang pembinaan sebuah pelabuhan mega di Pulau Carey pada masa depan.

"Di darat, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan rangkaian pengangkutan rel kami akan membawa lebih banyak kargo ke pelabuhan kami tanpa menggunakan laluan lebuh raya. Di udara, kami sedang mengembangkan lapangan terbang dan kapasiti kargo udara.

“Melalui Dasar Pengangkutan Negara yang diperbaharui, ini akan berfungsi sebagai satu sistem," kata beliau.

Anwar berkata keputusan Daiso untuk menubuhkan pusat pengedaran global terbesarnya di Pulau Indah merupakan satu tanda keyakinan yang kukuh terhadap kestabilan ekonomi, kesediaan infrastruktur, serta potensi jangka panjang Malaysia.

Beliau berkata pelaburan tersebut selaras dengan visi kerajaan di bawah kerangka Ekonomi MADANI, yang disasarkan untuk meningkatkan siling ekonomi negara di samping mengangkat taraf asas bagi seluruh rakyat Malaysia.

"Justeru, kami tidak menilai diri kami semata-mata berdasarkan jumlah nilai pelaburan yang berjaya kami tarik. Kami meneliti sama ada pelaburan tersebut mewujudkan pekerjaan dengan gaji yang lebih baik, membina lebih banyak keupayaan, menjalinkan hubungan dengan pembekal tempatan di Malaysia, serta menyokong pembangunan mampan," kata beliau.

Anwar berkata melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan insentif pelaburan yang disasarkan, kerajaan memberikan ganjaran kepada hasil menyeluruh yang membawa aktiviti bernilai lebih tinggi, pekerjaan berkemahiran, serta perkongsian tempatan.

-- BERNAMA