Pulau Pinang Catat Pelaburan RM20.2 Bilion Setakat Jun 2026 - MITI
KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Pulau Pinang merekodkan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM20.2 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, merangkumi sektor utama, sektor perkilangan dan sektor perkhidmatan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata pelaburan itu dijangka mewujudkan sebanyak 20,216 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan.
“Dalam konteks ini, pembangunan Taman Teknologi @ Bertam di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, berperanan penting sebagai pemangkin pertumbuhan perindustrian dan sosioekonomi setempat.
“Kerajaan MADANI, melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) komited memastikan impak pelaburan diterjemahkan secara langsung kepada manfaat ekonomi setempat,” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) mengenai mekanisme Kerajaan Persekutuan dalam memastikan penduduk Seberang Perai Utara terutamanya Tasek Gelugor dan Kepala Batas mendapat manfaat daripada pembangunan Taman Teknologi @ Bertam.
Dalam pada itu, katanya kerajaan melaksanakan beberapa pendekatan bagi memastikan penduduk Tasek Gelugor, Kepala Batas dan kawasan sekitar Seberang Perai Utara meraih manfaat secara inklusif daripada limpahan pelaburan itu.
“Dalam mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti kepada penduduk tempatan, MITI dan MIDA memberi penekanan agar syarikat pelabur mengutamakan pengambilan tenaga kerja tempatan, khususnya dalam bidang berkemahiran tinggi dan separa mahir seperti kejuruteraan, automasi, operasi teknikal serta pengurusan operasi,” katanya.
Selain itu, katanya kolaborasi berterusan dilaksanakan antara syarikat industri di Taman Teknologi @ Bertam dengan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta institusi pengajian tinggi di kawasan Seberang Perai Utara dan wilayah utara.
“Program latihan bersasar turut dilaksanakan meliputi peningkatan kemahiran, latihan semula dan program perantisan mengikut spesifikasi teknologi syarikat bagi menjamin kebolehpasaran anak tempatan,” katanya.
-- BERNAMA