BERITA TERKINI   Kerajaan perlu cari RM40 bilion setahun tanggung subsidi minyak - PM Anwar | PRN Melaka: Beri PH peluang, pentadbiran negeri perlu selari dengan persekutuan - PM Anwar | Kemenangan calon Muslim di Senat AS bukti demokrasi tanpa perkauman - PM Anwar | Konflik di Gaza menjadi antara isu utama yang akan disuarakan Malaysia pada TRT World Forum 2026 esok - Ahmad Zahid | Tindakan Presiden PAS label CSA sebagai ‘pendekatan dajal’ tidak kena, jangan main soal agama - PM Anwar | 

Kerajaan Sambut Baik Sokongan Lebih Berstruktur Bagi PKS Peringkat Pertumbuhan - TPM Fadillah

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kerajaan menyambut baik cadangan komuniti perniagaan supaya sokongan yang lebih berstruktur diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berada pada peringkat pertumbuhan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata cadangan itu wajar dipertimbangkan dengan lebih lanjut menerusi sesi libat urus secara konstruktif bersama kementerian, agensi dan pihak berkepentingan industri yang berkaitan.

“Sehubungan itu, saya mengalu-alukan cadangan untuk meneroka pendekatan yang lebih berstruktur bagi menyokong PKS yang berada pada peringkat pertumbuhan.

Ad Banner
Ad Banner

“Sudah tentu sebarang pendekatan yang dicadangkan perlu dinilai dengan teliti berdasarkan kewajarannya, dengan mengambil kira inisiatif sedia ada dan keperluan praktikal perniagaan kita,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Pemasaran Dunia 2026 di sini hari ini.

Fadillah berkata perhatian yang sama juga perlu diberikan kepada usaha membantu perniagaan mengekalkan pertumbuhan selepas mencapai kejayaan awal.

Menurutnya, bagi mendapat kontrak utama atau peluang menembusi pasaran antarabangsa,  sesebuah perusahaan mungkin memerlukan lebih ramai pekerja, memperkukuh keupayaan pengurusan, melabur dalam peralatan dan mendapatkan pembiayaan tambahan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Peluang yang menjanjikan lonjakan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi juga boleh menguji keupayaannya untuk mengekalkan pertumbuhan itu.

“Kita perlu mendengar pandangan usahawan dalam merangka dasar memandangkan pengalaman mereka membangunkan perniagaan dan mengatasi cabaran dapat membantu mengenal pasti aspek yang memerlukan sokongan paling berkesan,” katanya.

Mengenai kecerdasan buatan (AI), Fadillah berkata penggunaan teknologi perlu dipandu oleh keupayaannya untuk menyelesaikan masalah dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat.

“Adakah kita menggunakan teknologi semata-mata kerana ia tersedia atau disebabkan teknologi itu benar-benar membantu kita menyelesaikan masalah dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik?

“Inovasi yang bermakna bagi perniagaan kecil tidak semestinya memerlukan teknologi paling canggih, sebaliknya boleh melibatkan pengurangan masa yang digunakan untuk tugasan pentadbiran yang berulang supaya pekerja lebih menumpukan perhatian kepada pelanggan,” katanya.

Beliau berkata walaupun AI dapat membantu perniagaan menganalisis maklumat dan memberikan cadangan, teknologi itu tidak menghapuskan tanggungjawab untuk membuat pertimbangan yang wajar, mengekalkan integriti  dan mengambil kira kesan daripada keputusan yang mempengaruhi kehidupan masyarakat.

“Teknologi mungkin memperluas keupayaan kita, tetapi nilai yang kita pegang perlu menjadi panduan dalam menentukan cara kita menggunakan keupayaan itu.

“Kita perlu memastikan perusahaan kecil, pekerja dan masyarakat mempunyai peluang yang bermakna untuk turut serta dalam kemajuan teknologi serta meraih manfaat daripadanya,” katanya.

-- BERNAMA