Majlis Getah Malaysia Raih Anugerah Gold Stevie Atas Pencapaian Rangka Kerja Pengkomersialan Inovasi
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Majlis Getah Malaysia (MRC) meraih Anugerah Gold Stevie pada majlis International Business Awards 2026 atas pencapaian Rangka Kerja Pengkomersialan Terselarasnya (CCF) yang membantu menterjemahkan inovasi getah Malaysia kepada produk komersial.
Anugerah tersebut berada di bawah kategori Perkongsian Inovasi Awam Merentas Sektor Terbaik.
MRC dalam satu kenyataan memaklumkan International Business Awards 2026 menerima lebih daripada 3,800 pencalonan dari 78 negara, dengan penyertaan dinilai oleh lebih daripada 210 profesional di seluruh dunia.
“Pengiktirafan ini meletakkan MRC dalam kalangan penerima anugerah antarabangsa yang diiktiraf atas pencapaian mereka dalam kerjasama rentas sektor,” maklumnya.
Menurut MRC, CCF yang dibangunkan dengan sokongan Kementerian Perladangan dan Komoditi serta rakan strategiknya, menghimpunkan agensi kerajaan, institusi penyelidikan, pemaju teknologi, pemain industri, dan badan pembiayaan bagi membantu memudahkan pengkomersialan inovasi getah Malaysia.
“Melalui pendekatan yang diselaraskan ini, MRC membantu pengeluar produk getah mendapatkan akses kepada teknologi yang relevan, kepakaran teknikal, peluang pembiayaan, serta hubungan pasaran bagi menyokong perkembangan inovasi daripada peringkat penyelidikan dan pembangunan hingga kepada penggunaan komersial dan penerimaan pasaran,” maklum majlis tersebut.
Pengerusi MRC Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata pengiktirafan tersebut mencerminkan usaha bersama untuk menterjemahkan keupayaan penyelidikan dan inovasi Malaysia kepada manfaat nyata bagi industri getah.
“Malaysia memiliki keupayaan kukuh dalam penyelidikan, pembuatan, dan pembangunan produk getah. Apa yang penting ialah memastikan kekuatan ini diterjemahkan kepada peluang komersial yang memberi manfaat kepada pemain industri,” katanya.
Mohamad Suparadi berkata pengiktirafan tersebut memperlihatkan kepentingan kerjasama dalam merapatkan jurang antara penyelidikan dengan keperluan industri.
“Melalui CCF, MRC akan terus mendapatkan kepakaran dan sumber yang tepat serta rakan kongsi yang sesuai bagi membantu membawa inovasi getah Malaysia yang berpotensi ke pasaran, sekali gus memperkukuh daya saing jangka panjang industri produk getah negara,” katanya.
Menurut MRC, rangka kerja tersebut melibatkan 25 universiti dan lima agensi kerajaan, serta menyediakan akses kepada 100 teknologi dan harta intelek, 386 pakar teknikal, dan 416 kemudahan serta perkhidmatan khusus.
Sumber ini dilengkapkan dengan inisiatif sokongan daripada MRC termasuk Program Padanan Pengkomersialan (ComMATCH), Dana Hubungan Industri 2.0 (ILF 2.0), Dana Pengkomersialan MRC (MCF) serta Dana Automasi dan Teknologi Hijau (FAGT) yang memudahkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan dengan industri, persediaan untuk pengkomersialan, penerimagunaan teknologi, dan pembuatan lestari.
Di bawah ILF 2.0, MRC menyokong 11 projek industri, termasuk formulasi pelapik bunga tayar (Green Precured Tyre Tread Liner) yang dikomersialkan oleh Eversafe Rubber Bhd, serta usaha untuk menembusi pasaran Jepun.
Manakala di bawah FAGT pula, majlis tersebut turut menyokong 24 projek yang melibatkan penerimagunaan automasi, pendigitalan, dan amalan pembuatan mampan.
Secara berasingan, MRC membantu Geomax Rubber Innovative Products mendapatkan pembiayaan berjumlah RM500,000 bagi mengkomersialkan teknologi sifar sisa yang dipatenkan, yang dihasilkan daripada sisa sarung tangan nitril.
“Dalam tempoh tiga tahun, syarikat itu mencatatkan pertumbuhan hasil lebih daripada 20 kali ganda dan berkembang daripada hanya sebuah kilang kepada tiga kilang.
“MRC juga membantu Jupiter Solutions dan Heveatex mendapatkan pembiayaan masing-masing sebanyak RM150,400 dan RM358,200 bagi mengkomersialkan produk inovatif mereka,” maklumnya.
MRC memaklumkan ia akan terus memperkukuh kerjasama strategik, membantu penerimagunaan teknologi dan meluaskan peluang pasaran bagi menyokong pengkomersialan inovasi getah serta produk getah Malaysia selain memacu pertumbuhan jangka panjang dan daya saing global industri tersebut.
-- BERNAMA