Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar As Menjelang Keputusan OPR BNM
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang ASEAN lain pada penutupan Rabu menjelang keputusan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) esok.
Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM akan mengadakan mesyuarat dasar keenam dan terakhir bagi tahun 2026, esok (5 November).
Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.0610/0660 berbanding dolar AS daripada paras 4.0735/0775 ketika ditutup pada Selasa.
Menurut laporan, firma-firma penyelidikan BNM akan mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus esok dan sepanjang tahun 2027, disokong oleh pertumbuhan ekonomi berdaya tahan serta prospek inflasi terkawal.
Laporan tersebut menyatakan bahawa inflasi keseluruhan dijangka kekal dalam julat unjuran BNM, iaitu antara 1.5 hingga 2.5 peratus dalam tempoh terdekat.
Pada peringkat luaran, rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata ringgit berada pada kedudukan lebih kukuh susulan pencapaian Parti Demokrat dalam pilihan raya separuh penggal AS.
Beliau berkata sekiranya Parti Demokrat menguasai Kongres AS, ia mungkin memberikan sedikit sokongan kepada mata wang Asia, termasuk ringgit, ini kerana kebuntuan politik yang meningkat di Washington boleh mengurangkan kemungkinan pengembangan fiskal selanjutnya oleh AS, seterusnya berpotensi memberi tekanan ke atas hasil Perbendaharaan AS dan nilai dolar AS.
“Bagaimanapun, untuk ringgit mencatatkan kenaikan yang lebih bermakna, kita mungkin perlu melihat pasaran mula mengurangkan jangkaan terhadap kebarangkalian kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS pada bulan Disember depan.
“Cabarannya ialah tarif dikenakan oleh Presiden Donald Trump sebahagian besarnya masih di bawah kawalan presiden, oleh itu, keputusan pilihan raya ini tidak semestinya menghapuskan tekanan inflasi yang boleh menghalang Fed AS daripada beralih kepada pendirian yang cenderung untuk menurunkan kadar faedah.
“Keadaan ini mungkin mengehadkan penurunan nilai dolar AS, sekurang-kurangnya pada peringkat awal,” katanya kepada Bernama.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen pasaran kelihatan bertambah baik susulan keputusan pilihan raya separuh penggal AS kerana pentadbiran Trump mungkin menghadapi lebih banyak halangan perundangan dalam meluluskan undang-undang baharu, walaupun Presiden AS masih memegang kuasa veto.
“Akibatnya, Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.46 peratus kepada 101.399 mata. Masih terlalu awal untuk menentukan sama ada keputusan pilihan raya ini akan membawa perubahan ketara dalam dasar AS, terutamanya berkaitan dengan perdagangan dan konflik yang sedang berlaku di Iran.
“Ketika ini, keadaan pasaran agak positif, ia mungkin telah menyumbang kepada peningkatan minat risiko. Justeru, ringgit menokok sebanyak 0.20 peratus kepada RM4.06 hari ini,” katanya.
Pada penutup dagangan, ringgit ditutup kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 2.5636/5669 daripada 2.5762/5789 ketika ditutup pada Selasa, bagaimanapun susut berbanding euro kepada 4.5723/5779 daripada 4.5587/5631 dan merosot berbanding pound Britain kepada 5.4783/4850 daripada 5.4658/4712 sebelumnya.
Bagaimanapun, ringgit melonjak berbanding mata wang negara-negara ASEAN.
Mata wang tempatan menambh berbanding dolar Singapura kepada 3.1771/1813 daripada 3.1807/1841 sebelumnya, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.0673/0868 daripada 12.0696/0858 pada penutupan semalam, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 223.5/223.8 daripada 224.3/224.6 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 6.39/6.40 daripada 6.42/6.43 sebelumnya.
-- BERNAMA