Kedah Rubber City Tarik Pelaburan Komited RM3.344 Bilion Setakat September 2026
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Projek Kedah Rubber City (KRC) berjaya menarik pelaburan komited bernilai RM3.344 billion membabitkan lima pelabur utama setakat September 2026, menurut Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata selain pelabur sedia ada, kerajaan kini dalam peringkat perbincangan dengan tiga lagi pelabur berpotensi yang berminat untuk melabur di hab perindustrian getah itu, dengan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM450 juta.
“Setakat September 2026, KRC telah berjaya menarik lima pelabur komited dengan nilai pelaburan keseluruhan berjumlah RM3.344 bilion.
“Di samping itu, terdapat tiga pelabur berpotensi lagi yang sedang dalam proses perbincangan dengan anggaran nilai pelaburan sebanyak RM450 juta,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat hari ini.
Akmal Nasrullah berkata terdapat 41 projek pembangunan koridor iaitu lima projek baharu dan 36 projek sambungan, sedang dilaksanakan di bawah Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah Sarawak dan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Wilayah Sabah.
Bagi NCIA, sebanyak RM194.75 juta diperuntukan pada 2027 bagi melaksanakan 20 projek dengan empat projek baharu dan 16 projek sambungan, katanya.
Sementara itu, beliau berkata kementeriannya turut memberi penekanan khusus terhadap agenda matlamat pembangunan mampan, teknologi serta pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menerusi peruntukan perbelanjaan pembangunan bagi 2027.
Akmal Nasrullah berkata usaha itu dilaksanakan melalui pelbagai projek fizikal dan inisiatif beimpak tinggi, termasuk pembangunan kerangka kerja pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan, ekonomi biru, serta pembinaan fasiliti perindustrian bagi membolehkan rantaian bekalan tempatan beradaptasi dengan piawaian global.
“Ada beberapa program ataupun projek yang kita telah senaraikan dan diberi tumpuan pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata kementerian turut menyalurkan peruntukan pembangunan melalui Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri bagi menyediakan premis moden dan tapak industri khusus untuk usahawan PKS.
Antaranya, projek pembinaan kilang PKS baharu di Chembong, Negeri Sembilan dengan peruntukan unjuran kos RM10.2 juta, zon industri Kulim Hi-Tech Park Fasa 5, Kedah bernilai RM47 juta, tapak industri Gebeng, Pahang, serta program pembangunan usahawan Bumiputera mikro, kecil dan sederhana di Selangor sebanyak RM5.77 juta.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan 2027 berjumlah sebanyak RM645.42 juta bagi Perbelanjaan Mengurus (OE) dan RM2.12 bilion bagi Perbelanjaan Pembangunan (DE) yang diperuntukkan kepada kementerian berkenaan di bawah Belanjawan 2027 dengan suara majoriti selepas dibahaskan oleh 17 Ahli Parlimen.
-- BERNAMA