AWS Lancar Semarak AI Malaysia Bagi Percepat Penggunaan AI Di Seluruh Negara
KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Amazon Web Services (AWS) melancarkan Semarak AI Malaysia, sebuah program nasional untuk mempercepat penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Program itu bertujuan melengkapkan pegawai kerajaan, golongan perniagaan dan orang ramai dengan peralatan serta kemahiran AI bagi membolehkan mereka membangunkan penyelesaian masing-masing.
Pengurus Negara AWS bagi Malaysia, Pakistan dan Brunei Hussein Mohd Ali berkata program itu yang dibina berteraskan tiga tonggak iaitu AI Negara, AI Ekonomi dan AI Rakyat, dirangka untuk menyalurkan pengetahuan dan keupayaan AI kepada pelbagai lapisan masyarakat.
“Saya berbangga untuk mengumumkan pelancaran Semarak AI Malaysia. 'Semarak' membawa maksud berkembang mekar, menyemarakkan atau penuh semangat dalam Bahasa Malaysia. Oleh itu, kami berada di sini untuk menyemarakkan AI di Malaysia,” katanya dalam ucaptama pada majlis AWS Cloud and AI Day di sini hari ini.
Dalam satu kenyataan AWS memaklumkan AI Negara akan menyediakan akses kepada alat Amazon Quick kepada sehingga 445,000 pegawai kerajaan, sekali gus memberikan pengalaman praktikal secara langsung kepada pasukan sektor awam dalam mengaplikasikan AI ejen pada tugasan harian mereka.
Bagi AI Ekonomi, AWS menyasarkan untuk melengkapkan syarikat perisian serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia dengan peralatan seperti Amazon Quick dan Kiro bagi membantu mereka bersaing, berkembang dan meluaskan pasaran ke peringkat serantau.
Sementara itu, AI Rakyat pula memberi tumpuan kepada usaha memperluas kemahiran AI dalam kalangan pelajar politeknik, pusat komuniti dan warga sekolah di seluruh negara.
Hussein berkata inisiatif itu selaras dengan matlamat digital Malaysia yang lebih luas susulan pelancaran Malaysia Digital 2030 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun, serta penubuhan AI Malaysia Bhd sebagai pejabat AI kebangsaan pada Julai.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pelaburan yang dirancang oleh AWS sebanyak RM29.2 bilion di Malaysia sehingga 2038 dianggarkan menyumbang RM57.3 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara serta menyokong lebih 3,500 peluang pekerjaan setiap tahun di syarikat tempatan.
“Akses kepada teknologi awan dan AI yang canggih membolehkan perniagaan di Malaysia meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos serta membangunkan produk dan perkhidmatan baharu tanpa perlu membuat pelaburan awal yang besar dalam infrastruktur,” katanya.
Johari juga turut menekankan keperluan untuk memastikan syarikat tempatan mendapat manfaat daripada perkembangan ekonomi digital. Ini termasuklah pembangunan bakat dan pembekal bagi meningkatkan keupayaan serta daya saing mereka di pasaran serantau dan global.
-- BERNAMA